Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk.

SEORANG warga emas maut selepas Toyota Vios dipandunya terjunam dari jambatan Syed Abdul Aziz di Taman Kota Laksamana, Melaka, dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, mangsa Tan Chin Chee, 76, cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang menghala ke Melaka Raya hilang kawalan menyebabkan kereta Toyota Vios dipandunya terbabas ke laluan bertentangan sebelum terjatuh dari jambatan itu.

“Dianggarkan ketinggian jambatan Jalan Syed Abdul Aziz ke jalan raya adalah kira-kira 15 meter,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. 

Baca artikel berkaitan: Lelaki maut dalam kemalangan 3 kenderaan dekat Sogo

Hasan berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.26 pagi dan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi kejadian. 

Katanya operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram