KERETA yang dipercayai dicuri digunakan oleh suspek penjenayah. - Gambar ihsan Polis

SEORANG lelaki menaiki sebuah kereta mewah yang memandu secara berbahaya dan cuba melarikan diri sejauh kira-kira dua kilometer (km) dekat Wangsa Maju, Kuala Lumpur, ditahan polis tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam, sepasukan anggota Balai Polis Jalan Tun Razak melakukan rondaan cegah jenayah sekitar Taman Tasik Titiwangsa sebelum melihat sebuah Toyota Harrier diparkir dan dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, selepas polis memperkenalkan diri ketika menghampiri kenderaan itu untuk tujuan pemeriksaan, suspek kemudiannya melarikan diri dengan kaedah pemanduan agresif dan bahaya.

Katanya, ia menyebabkan kerosakan beberapa kenderaan dan gerai di kawasan berkenaan, sebelum polis mengekori kenderaan suspek kira-kira dua km hingga Jalan Ayer Embun berdekatan Masjid Ibnu Sina Titiwangsa.

BERITA BERKAITAN Lolos di sekatan 19 tahun lalu, penjenayah akhirnya dicekup bersama pistol

“Pemandu kenderaan berjaya ditahan, bagaimanapun penumpangnya melarikan diri. Pemeriksaan terhadap suspek menemui beberapa barang disyaki hasil kegiatan jenayah.

“Semakan lanjut mendapati kenderaan berkenaan dilaporkan hilang serta menggunakan nombor pendaftaran palsu. Suspek turut didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) kerana menakutkan penjawat awam ketika menjalankan tugas, Seksyen 186 KK (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) serta Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (gagal mengemukakan pengenalan diri semasa pemeriksaan dilakukan).

Pemilik gerai dan kenderaan dilanggar SUV itu serta saksi awam boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Chew Lai Chang di talian 012-2749097 atau pengawai penyiasat, Inspektor Abdul Hakeem Abdullah (012-9225687) bagi membantu siasatan.

Orang awam juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2146 0584/0585) atau mana-mana balai polis berdekatan.