Datuk Onn Hafiz Ghazi

KEPEMIMPINAN Kerajaan negeri Johor dijangka berubah wajah apabila Ahli Dewan Undangan (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

Onn, 44 tahun dan merupakan bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor dikatakan akan mengambil alih jawatan itu yang sebelum ini disandang oleh Datuk Hasni Mohammad.

Sumber Barisan Nasional (BN) memberitahu Berita Harian, ura-ura Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak menjelang PRN Johor lagi.

“Namun ia reda sebentar di sebalik kebimbangan sesetengah pemimpin BN ketika kempen, sama ada parti mampu memenangi kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan negeri, berikutan kempen Perikatan Nasional (PN) yang sangat agresif.

“Bagaimanapun, apabila BN akhirnya berjaya dengan kejayaan cemerlang meraih 40 kerusi, khabar angin itu (Onn Hafiz jadi MB) bertiup kencang semula dan semakin kuat hari ini.

“Melihat situasi semasa yang menyaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dititah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan kenyataan terbaharu Datuk Seri Hasni, seolah-olah sudah ada kompromi untuk memberi laluan kepada Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar ke-19,” katanya.

Sebelum ura-ura pelantikan Onn yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan University of Hertfordshire, United Kingdom bertebaran, Hasni yang memimpin BN mencapai kemenangan besar dalam PRN Johor dalam satu kenyataan hari ini sudah memberi bayangan negeri itu bakal mendapat Menteri Besar baharu.

Berita pelantikan Onn juga turut menarik perhatian kerana sebelum ini ketika pengumuman calon BN bagi PRN Johor pada 24 Februari lalu, Hasni dipilih sebagai ‘poster boy’ sekaligus membayangkan beliau akan terus menjadi Menteri Besar yang disandangnya sejak 28 Februari 2020 jika BN menang pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun Hasni 63 tahun dalam kenyataan tersebut menegaskan, melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, beliau mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri itu.

Onn Hafiz yang Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam yang merupakan bapa kepada empat orang anak adalah anak saudara kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan cicit kepada pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar.

Beliau yang merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Pertahanan (2013 hingga 2018) sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di DUN Layang-Layang dan memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 364 undi.

Bagaimanapun pada PRN Johor, Onn Hafiz diletakkan bertanding di DUN Machap .Beliau yang pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO bagi penggal 2012-2018 menang dengan majoriti 6,543 undi menewaskan tiga calon lain selepas mendapat 11,029 undi.