KEBENARAN pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam disifatkan demi memastikan kelangsungan hidup rakyat terkesan akibat pandemik COVID-19.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Felo Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Nurazilah Zainal berkata, golongan yang benar-benar terkesan seperti kehilangan pekerjaan; tiada pendapatan tetap; tiada tempat tinggal dan tiada simpanan perlu mengambil peluang bagi meneruskan kehidupan.
Bagaimanapun, sekiranya tiada keperluan mendesak, Nurazilah menasihatkan pencarum untuk tidak mengeluarkan wang berkenaan bagi mengekalkan simpanan dan kelangsungan hari tua kelak.
Pada masa sama, kata beliau, pengeluaran KWSP itu juga memberi peluang kepada pencarum menyalurkan ‘dana’ itu untuk membuat pelaburan yang membawa keuntungan tinggi pada masa hadapan.
“Kerajaan telah mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk membenarkan pengeluaran caruman KWSP sebanyak RM10,000 ini.
“Krisis COVID-19 yang belum reda ditambah pula dengan bencana banjir baru-baru ini membuatkan masih ramai rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan,” katanya kepada UtusanTV hari ini.
Baca artikel berkaitan: Pengeluaran KWSP: Bertindak bijak imbang keperluan dan simpanan masa tua
Mengulas lanjut, Nurazilah menasihatkan pencarum supaya tidak mengeluarkan simpanan KWSP itu tanpa tujuan yang munasabah.
Ini kerana, menurutnya, berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 15 Januari lalu bahawa hampir separuh daripada ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dengan 55 peratus daripadanya adalah bumiputera.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
Kata Perdana Menteri, langkah itu dilakukan berdasarkan dapatan kajian dalam fasa pemulihan selepas pandemik yang mendapati masih ada Keluarga Malaysia terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
Ismail Sabri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP itu akan dibuat Kementerian Kewangan dan KWSP sendiri.
Bagaimanapun, Perdana Menteri turut merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan dalam KWSP kecuali keadaan benar-benar terdesak.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

