PENGAGIHAN kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus bagi kedua-dua simpanan iaitu Simpanan Konvensional dan Shariah bertepatan dengan prestasi semasa dana persaraan itu.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penurunan sedikit kadar dividen itu juga disebabkan situasi ekonomi sepanjang tahun 2025.
Menurut beliau, kedudukan ekonomi dunia mengalami ketidaktentuan terutama di peringkat geopolitik ekoran konflik di Asia Barat.
Walaupun prestasi kewangan KWSP dilihat lebih stabil, Ahmed Razman berkata, peningkatan jumlah pencarum telah membuatkan komitmen pengagihan dividen lebih tinggi.
“Prestasi Bursa Malaysia yang walaupun positif tetapi peningkatan minimum iaitu kira-kira 2.3 peratus pula membuatkan pengumuman dividen itu lebih mendatar berbanding tahun sebelumnya.
“Kedudukan ringgit yang semakin mengukuh juga boleh memberi kesan.
“Namun begitu, Strategi Peruntukan Aset yang dilaksanakan KWSP akan memastikan tidak berlaku kebergantungan yang ketara ke atas aset-aset tertentu,” katanya kepada UtusanTV, hari ini.
Semalam, KWSP mengumumkan kadar dividen 2025 sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah.
Pengagihan dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 itu membabitkan agihan sebanyak RM67.1 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah dengan jumlah keseluruhan agihan RM79.6 bilion.
Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Shariah selesai hari ini dan ahli boleh menyemaknya melalui i-Akaun atau Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Bagi tahun dikaji, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.
Aset pelaburan meningkat kepada RM1.409 trilion, menokok 12.8 peratus daripada RM1.250 trilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata dana persaraan itu telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada 2025 walaupun berdepan persekitaran yang tidak menentu berikutan dasar perdagangan yang sukar diramal.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

