KADAR pulangan dividen sebanyak 6.15 peratus yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sabtu lalu disifatkan masih tergolong dalam julat yang sangat kompetitif dan stabil.
Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kadar berkenaan masih lagi kompetitif jika dibandingkan dengan pulangan instrumen simpanan atau jangka pendek yang lain.
Walaupun dividen berkenaan sedikit menurun berbanding untuk tahun 2024, Abu Sofian berkata, ia masih jauh lebih tinggi daripada kebanyakan simpanan tetap atau instrumen rizab lain.
Beliau memaklumkan, jumlah pendapatan boleh diagihkan KWSP juga meningkat kepada sekitar RM82.7 bilion iaitu naik 9.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan KWSP masih berjaya menjana pertumbuhan nilai aset dan caruman ahli, walaupun kadar dividen sedikit turun.
“Kadar ini masih mencerminkan pendekatan pelaburan jangka panjang yang berhati-hati namun berkesan, bukannya reaksi terhadap turun naik jangka pendek,” katanya kepada UtusanTV.
Prestasi saham domestik lebih sederhana
Mengulas lanjut, Abu Sofian memberitahu, terdapat beberapa faktor menjadi punca pengagihan dividen yang sedikit menurun walaupun prestasi kewangan KWSP dilihat lebih stabil.
Menurutnya, ia termasuk prestasi pasaran saham domestik lebih sederhana dengan Bursa Malaysia hanya meningkat sekitar 2.3 peratus sahaja sepanjang tahun berbanding kira-kira 12.9 peratus tahun sebelumnya.
Selain itu, kata beliau melibatkan pengaruh pertukaran mata wang ringgit.
“Pertumbuhan pasaran yang jauh lebih rendah, memberi kesan kepada pulangan ekuiti yang merupakan sumbangan utama kepada pendapatan KWSP.
“Ringgit juga telah mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengurangkan nilai semasa pendapatan daripada aset antarabangsa apabila ditukar ke ringgit,” katanya.
Sabtu lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen 2025 sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah.
Pengagihan dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 itu membabitkan agihan sebanyak RM67.1 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah dengan jumlah keseluruhan agihan RM79.6 bilion.
Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Shariah selesai hari ini dan ahli boleh menyemaknya melalui i-Akaun atau Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Bagi tahun dikaji, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.
Aset pelaburan meningkat kepada RM1.409 trilion, menokok 12.8 peratus daripada RM1.250 trilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata dana persaraan itu telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada 2025 walaupun berdepan persekitaran yang tidak menentu berikutan dasar perdagangan yang sukar diramal.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

