PENOLAKAN usul melibatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) disifatkan tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan.

Menurut Anwar, ini kerana usul yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu bukan sebahagian daripada MoU yang terjalin antara kerajaan dengan PH.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli Parlimen pembangkang yang telah menyatakan pendirian teguh sekali gus berjaya menolak usul tersebut.

“Saya ikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat khususnya terkait usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri berhubung Akta SOSMA walaupun masih dalam tempoh kuarantin.

“Seperti yang dijelaskan beberapa rakan ahli Parlimen, usul ini bukan sebahagian daripada MoU antara kerajaan dan PH.

“Penolakannya tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MoU tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Baca artikel berkaitan: MoU batal bila PH tolak usul kerajaan, Annuar Musa ajak siap sedia PRU-15

Semalam, usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi tidak diluluskan Dewan Rakyat.

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Mengumumkan keputusan undi itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Terdahulu ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata peruntukan Subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram