TOYOTA dijangka akan memperkenalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik Innova EV di pasaran Indonesia tidak lama lagi berikutan pengenalan model konsep MPV tersebut pada Pameran Motor Antarabangsa Indonesia (IIMS) 2022 yang bermula hari ini.

Reka bentuk Innova EV Concept tersebut dilihat menggunakan platform model Innova generasi kedua yang terdapat di pasaran Malaysia, Indonesia dan Thailand sekarang dengan sedikit perubahan di bahagian hadapan

Model MPV konsep ini menggunakan cat warna putih berserta hiasan grafik berwarna biru, berserta kemasan biru pada lampu hadapan, lampu belakang serta lencana Toyota di gril.

Sama seperti kebanyakan EV hari ini, bahagian gril itu sebahagian besarnya adalah tertutup dan rekaan bampar diubah sedikit manakala rim juga menggunakan rekaan khas.

MPV elektrik ini masih menggunakan platform Innova yang berada di pasaran sekarang.

MPV ini telah dipamerkan secara rasmi hari ini dengan gambarnya dapat dilihat di beberapa laman portal dan Twitter seperti Paultan.com, EV Bazzar, GaadiWaadi.com, Detik.com, Autocard India dan sebagainya.

Anda juga boleh melihat bahagian dalam Innova EV Concept ini mempunyai panel instrumen baru yang nampak lebih moden dan mempunyai meter Eco dan juga meter rpm.

Informasi tambahan dipaparkan pada skrin infotainmen, termasuk status penggerak elektriknya (tahap bateri, baki jarak gerak dan kuasa yang disampaikan), kelajuan serta “gear” atau mod yang sedang digunakan.

BERITA BERKAITAN Pemandu Toyota Hilux ditahan bantu siasatan buli jalan raya

Memandangkan ini masih adalah model konsep, ia mungkin tidak menggambarkan sepenuhnya model yang akan ditawarkan kepada pasaran sekiranya Toyota mahu menjadikan Innova menggunakan penggerak elektrik sepenuhnya. Kami masih belum ada spesifikasi penuh model konsep ini sekarang, tetapi apabila ada nanti, kami akan tambah.

Walaupun tidak dinyatakan bilakah tarikh sebenar MPV elektrik ini akan berada di pasaran tetapi Toyota sebelum ini telah mengumumkan akan melancarkan 15 kenderaan elektrik terbaharunya dari sekarnag hingga 2025.

Selain itu, Toyota Indonesia juga telah memperkenalkan video pengenalan mengenai Innova EV ini dalam bentuk video di Youtube yang menunjukkan tempohnya akan berada pasaran sudah tidak terlalu lama lagi.