“TIDAK, kita masih belum hampiri endemik lagi, masih jauh.”
Demikian kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi penjelasan walaupun negara mula memasuki fasa peralihan ke endemik mulai hari ini.
Khairy menjelaskan, transisi peralihan ke endemik mungkin akan berlangsung dalam tempoh yang perlahan.
Menurut beliau, fasa endemik bermakna COVID-19 tidak lagi tersebar dengan meluas.
Pada masa sama, Khairy memaklumkan, fasa endemik juga bermakna tiada lagi langkah kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka.
Namun, situasi tersebut belum lagi menjadi kenyataan memandangkan kes jangkitan harian masih lagi tinggi manakala langkah kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka serta penjejakan kontak masih diwajibkan.
“Ini merupakan peralihan (yang mungkin perlahan) ke arah endemik.
“Kita jauh lagi daripada endemik,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Bermula hari ini, negara beralih ke fasa peralihan ke endemik selepas lebih dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang menyaksikan pelbagai kawalan dan kekangan dilaksanakan.
Baca artikel berkaitan: Fasa Peralihan ke Endemik bermula, episod baharu pasca-COVID-19
Ini termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama pada 18 Mac 2020, penutupan sempadan negara, pengenalan amalan penjarakan fizikal, pelaksanaan pemakaian pelitup muka di tempat awam, serta penggunaan aplikasi MySejahtera dan lain-lain lagi.
Namun mulai 1 April, Fasa Peralihan Ke Endemik menyaksikan pelbagai kelonggaran diberikan semula, termasuk aktiviti solat jemaah di masjid serta surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Mulai hari ini juga, premis perniagaan dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis, apabila had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.
Bagaimanapun pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu manakala pendaftaran kemasukan menggunakan aplikasi MySejahtera juga masih diwajibkan, dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

