Datuk Dr Noor Azmi Ghazali./ Gambar FB KKM

SEMUA ibu-bapa diingatkan agar tidak membawa anak-anak mereka yang masih kecil ke kawasan yang sesak dan sempit seperti bazar Ramadan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, hal itu bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 yang masih aktif ketika ini terutama bagi anak-anak kecil yang masih belum divaksinasi.

Tegas beliau, perbuatan membawa anak-anak kecil ke kawasan sempit dan sesak itu sangat berisiko walaupun negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik.

“Melihat suasana hari pertama di bazar Ramadan di Bagan Serai, Perak, kita dapati ramai pengunjung membawa anak kecil di tempat yang penuh sesak.

“Kalau tempat sempit ini sebaiknya jangan bawa anak-anak, kita tidak mahu menyambut Ramadan dalam keadaan sedih dan sibuk di hospital,” katanya memetik laporan Bernama.

Baca artikel berkaitan: Ramadan datang lagi menerjah memori, mengimbau kenangan mengusik hati

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, berdasarkan data terkini yang diperoleh, hanya 38 peratus daripada populasi kanak-kanak yang sudah mendapatkan vaksinasi setakat ini.

Katanya, peratusan itu menunjukkan vaksinasi bagi kanak-kanak masih di tahap yang perlahan.

“Kami berharap ibu-bapa mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak mereka secepat yang mungkin,” katanya.

Sementara itu, Noor Azmi menjelaskan, keputusan memendekkan tempoh kuarantin dan memanggil petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 kembali bekerja dilakukan berdasarkan fakta sains dan nasihat pakar.

Katanya, keputusan itu juga adalah syor Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang membuat data saintifik dan bukan dilakukan secara semberono.

“Kuarantin dipendekkan kerana pekerja Kementerian Kesihatan (KKM) juga terkena jangkitan Covid-19, antaranya menjadi kontak rapat.

“Namun rawatan dan program (tugas) di hospital agak tergendala sekiranya mereka menjalani kuarantin yang lama.

“Oleh itu, penilaian dibuat daripada mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya dan menerima dos penggalak serta tiada simptom lagi selain tiada rekod komorbid barulah diberi kuarantin pendek supaya dapat kembali bekerja dan menjalankan tugas.

“Ini amat penting supaya keadaan hospital tidak terganggu dan lumpuh,” katanya.

Baru-baru ini, gabungan pekerja penjagaan kesihatan menggesa KKM untuk mempertimbangkan semula keputusan memendekkan tempoh kuarantin kepada pekerja kesihatan dan sebaliknya memperkenalkan perlindungan tambahan.