sprm
- GAMBAR: Abd Razak Aid

PADA 30 Januari 2019, Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu memaklumkan kementerian tersebut tidak pernah menutup siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam projek Jiwa Murni di Sarawak.

Lanjutan itu pada 8 September 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah sebuah syarikat berusia 42 tahun dan 44 tahun. Mereka ditangkap bagi membantu siasatan dakwaan melakukan tuntutan palsu  berjumlah RM800 juta berkaitan satu projek menaiktaraf jalan di pedalaman negeri tersebut. Bagaimanapun mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM100,000 seorang dengan seorang penjamin.

Pada 19 September 2020, dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Selain suspek bergelar Datuk itu, seorang lagi individu yang ditahan ialah pengarah sebuah syarikat pembekal. Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 63 tahun dan 56 tahun ditahan.

Berita Harian ketika itu melaporkan, tuntutan itu membabitkan pelaksanaan 10 jalan negeri di Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan bernilai RM800 juta.

‘’Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dikenali sebagai ‘Projek Jiwa Murni’ di bawah kementerian berkenaan dan dianugerahkan kepada syarikat itu pada 2010 dan 2016. Daerah serta kawasan yang terlibat adalah di Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga,’’ kata sumber lapor Bernama.

Mereka merupakan rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan pembinaan jalan.

Selain itu, sumber berkenaan mendakwa perkara paling mengejutkan ialah salah satu daripada syarikat yang mendapat projek menaik taraf dan membaik pulih jalan-jalan berkenaan, disyaki dimiliki pengarah syarikat tersebut, yang membina jalan raya berkenaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Sumber berkata seharusnya syarikat-syarikat di bawah kawalan kementerian berkenaan disenarai hitam daripada memperolehi projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakan projek terdahulu namun apa yang berlaku ialah mereka diberikan lagi projek dengan menggunakan nama syarikat lain.

Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan biarpun sudah berlanjutan hampir dua tahun namun hasil siasatan kes itu masih menjadi tanda tanya.  Sehingga hari ini SPRM tidak memaklumkan apa hasil siasatan kes tersebut kepada umum.

‘’Sepatutnya SPRM beritahulah apa kesudahan kes ini…adakah yang ditahan itu ada kes atau tidak? Bukannya diam begitu sahaja. Lagi pula ia bukannya melibatkan penyelewengan kecil tetapi RM800 juta. Satu jumlah yang cukup besar,’’ kata satu sumber.

 Sumber itu menegaskan, jika SPRM tidak menjejaskan kedudukan sebenar kes tersebut, ia boleh memberi persepsi yang tidak baik kepada kerajaan dalam memerangi gejala rasuah dan tidak adil kepada mereka yang ditahan sebelum ini.

‘’Nanti orang akan kata bila kes kecil…satu dunia heboh, bila kes besar walaupun ada tangkapan…kesudahannya kita tak tahu. Jadi diharapkan SPRM akan memaklumkan apakah status siasatan kes tersebut dan adakah mereka yang terlibat akan didakwa atau siasatan menunjukkan mereka tidak bersalah. Langkah ini juga demi keadilan kepada mereka yang ditahan,’’ kata sumber itu.

UtusanTV sedang berusaha mendapatkan komen SPRM berhubung perkembangan kes ini.