Ernie Zakri pertama kali keluarkan lagu raya

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

BIARPUN baharu sahaja bergelar ibu kepada puteri comel, Nur Khawla Soleha Syameel Aqmal, penyanyi Ernie Zakri hadir dengan single raya berjudul Zapin Lebaran.

Lagu terbabit merupakan hasil ciptaannya sendiri dengan penyanyi dan penggubah lagu berbakat, Yuka Kharisma, terbitan Rocketfuel Entertainment.

“Alhamdulillah, perasaan gembira itu tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata apabila menimang cahaya mata pertama. Saya juga turut merasa sedikit gementar kerana tidak sabar hendak membesarkan puteri sulung kami.

“Walaupun sekarang saya sedang fokus dengan anak, namun naluri seni saya terpanggil untuk merakamkan lagu raya baharu pada tahun ini,” kata pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-32 dan 35 ini.

Menurut Ernie, ini merupakan single raya solonya yang pertama kerana sebelum ini dia belum berkesempatan berbuat demikian.

“Sudah lama saya idamkan hendak merakamkan lagu raya sendiri, lalu saya mempelawa rakan pemuzik, Yuka Kharisma untuk turut serta dalam penghasilannya.

“Kami mengambil masa selama beberapa hari sahaja untuk mencipta lirik dan melodinya, manakala proses rakamannya pula dilakukan di rumah saya ketika masih lagi berpantang,” kongsi Ernie.

Zapin Lebaran mengangkat martabat irama tradisional Melayu asli berentak zapin yang diperindahkan lagi melalui alunan petikan instrumen gambus yang menggamit nostalgia Raya zaman dahulu kala.

“Saya terinspirasi menciptakan lagu ini kerana pandemik COVID-19 yang melanda kita semua. Hampir dua tahun kita diduga dan dua tahun jugalah kita tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta dan rakan taulan.

“Zapin Lebaran bermaksud sambutan meraikan hari kemenangan kita sebagai umat Islam, bukan sahaja dari menahan lapar dan dahaga, tetapi juga ujian dari yang Maha Kuasa.

“Mungkin ada sinar harapan pada tahun ini apabila dapat merasa kembali suasana raya setelah beberapa tahun tidak dapat menjenguk keluarga yang berada jauh di kampung halaman.

“Video muzik single ini masih lagi dalam perancangan dengan konsep raya yang tidak keterlaluan namun masih dalam suasana keraian,” jelasnya.

Aidilfitri bagi Ernie dan suaminya yang juga penyanyi Syamel pada tahun ini pastinya berbeza kerana ketiadaan ibu serta mentua tercinta.

“Walaupun sedih tanpa kehadiran ibu mentua, anak menjadi penyeri raya kami nanti. Syamel dan saya sangat rapat dengan keluarga jadi perbezaan itu akan jelas terasa.

“Saya berharap semua dapat menikmati lagu ini dengan penuh kegembiraan setelah puas berkorban. Dan semoga lagu ini sentiasa mekar menjadi di antara lagu-lagu raya yang malar segar,” tuturnya.

Lagu Zapin Lebaran boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala muzik video single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This