LANGKAH bagi melaksanakan saringan integriti serta tandatangan surat akuan menolak rasuah terhadap semua syarikat yang membida tender kerajaan dilihat tepat bagi mengelakkan ketirisan daripada berlaku.
Inisiatif yang diwajibkan mulai 1 Jun ini itu merupakan antara 111 langkah yang termaktub di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
Sehubungan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan sokongan penuh terhadap kewajiban melaksanakan saringan integriti dan tandatangan surat akuan menolak rasuah itu.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim menegaskan, sekiranya ketirisan tetap berlaku selepas pelaksanaan langkah tersebut, syarikat berkenaan perlu disenaraihitamkan dan semua pengarah syarikat pula dipenjarakan.
Menurut Jais, perkara tersebut perlu dilakukan sebagai pengajaran kepada syarikat-syarikat atau individu lain.
Beliau berkata, MCW tidak mahu melihat Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun tinggal sekadar laporan sahaja tanpa sebarang penambahbaikan untuk mengatasi gejala rasuah seperti dalam pembelian aset tentera, infrastruktur persekolahan dan lain-lain.
“MCW menyokong penuh saringan integriti serta tandatangan surat akuan menolak rasuah terhadap semua syarikat yang membida tender kerajaan supaya ketirisan tidak berlaku.
“Namun begitu, selagi budaya antirasuah tidak menjadi amalan hidup berpandukan agama, selagi itu apa sahaja inisiatif akan menjadi momokan semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: SPRM bertanggungjawab perjelas status projek Jiwa Murni – MCW
Mengulas lanjut, Jais menegaskan setiap inisiatif yang dirangka perlu diikuti dengan pelaksanaan dan keazaman politik yang cukup tinggi.
Kata beliau, Malaysia, seperti banyak negara membangun yang lain sangat bagus dari segi inisiatif anti rasuah, namun pasti terdapat kadar rasuah yang tinggi setiap tahun.
“Saranan saringan integriti ini adalah baik dan wajar diadakan tetapi dalam dunia perniagaan, garisan antara etika bisnes yang baik dan hubungan baik dengan orang politik menjadi satu masalah dalam menegakkan integriti.
“Dalam banyak hal, orang yang ada integriti hilang peluang perniagaan atau mendapat dana atau pun geran kerajaan.
“Malah, agensi pemberi dana ini juga kadang kala menunjukkan sifat kurang integriti kerana mempunyai budaya persaingan dan iri hati terhadap ahli perniagaan yang menjadi penerima dana tersebut,” jelas beliau.
Media hari ini melaporkan syarikat yang membida tender atau memohon dana kerajaan yang dikeluarkan menerusi Kementerian Kewangan wajib melalui saringan integriti serta menandatangani surat akuan menolak elemen rasuah bermula 1 Jun ini.
Surat Akuan Integriti Pact itu akan dikuatkuasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

