MCW tuntut SPRM lakukan siasatan menyeluruh tanpa kompromi ke atas pemimpin politik

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan menyeluruh tanpa kompromi termasuk ke atas pemimpin politik secara telus dan adil.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan terkini berhubung siasatan SPRM terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menegaskan, prinsip integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara amat penting untuk dipraktikkan secara saksama.

Menurut Jais, sesiapa sahaja yang terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah harus dihadapkan ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat atau kedudukan sama ada pemberi atau pun penerima rasuah.

“Secara realiti dalam pendakwaan kes rasuah sering menyaksikan pemberi rasuah digunakan sebagai saksi utama terhadap penerima rasuah khususnya kes-kes berkaitan penerima rasuah yang mempunyai kedudukan tinggi dan memegang amanah rakyat sebagai pemimpin negara.

“Walaupun ini adalah strategi yang biasa dalam pendakwaan, MCW berpandangan bahawa pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya harus dikenakan tindakan tegas bagi memastikan keadilan dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jais melihat kejayaan rampasan berjuta-juta ringgit yang dilakukan SPRM itu sebagai tindakan holistik dan tamparan hebat kepada pihak-pihak yang selama ini bersembunyi di sebalik kuasa politik.

Pada masa sama, beliau berkata, MCW menyokong penuh siasatan dan tindakan tegas yang dilakukan terhadap mana-mana pihak tanpa kompromi.

“Namun, siasatan SPRM ini juga tidak seharusnya menjadi alat politik bagi menekan pihak-pihak tertentu sahaja sedangkan masih ada pihak lain terlepas daripada tindakan yang sama seolah-olah mereka ini mempunyai kekebalan tertentu,” katanya.

Baca artikel lain: Ismail Sabri dipanggil semula beri keterangan tambahan kepada SPRM Rabu ini

Sementara itu, Jais turut menggesa supaya reformasi institusi diteruskan dengan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik dalam kadar segera.

Beliau menegaskan, pelaksanaan Akta Pendanaan Politik itu mampu menjadikan pemimpin lebih amanah dan bebas daripada amalan rasuah ketika memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam konteks politik negara, beliau berkata, MCW menyedari bahawa pendedahan kes-kes rasuah melibatkan pemimpin berprofil tinggi boleh memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat dan maruah negara.

Sehubungan itu, Jais menegaskan, Akta Pendanaan Politik boleh menghakis persepsi buruk tersebut.

“MCW akan terus komited memantau dan menyatakan pandangan mewakili suara rakyat yang sentiasa menuntut ketelusan dalam reformasi membebaskan Malaysia daripada cengkaman rasuah.

“Justeru, MCW menyeru semua pihak bersatu padu dan bekerjasama untuk membebaskan negara tercinta ini daripada cengkaman budaya rasuah yang telah lama berakar umbi dalam pentadbiran kerajaan.

“Perjuangan membanteras rasuah bukan hanya tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa semata-mata.

“Sokongan jitu dan kesedaran seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah, berintegriti dan bebas rasuah,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Akses portal 2 Ahli Parlimen PKR disekat kerana pilih gerakan menentang kerajaan

PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan...

More Articles Like This