TAHUN ini, lagu raya baharu dendangan artis tempatan kembali rancak dilancarkan selepas lebih dua tahun negara berhadapan cabaran pandemik COVID-19 yang menyaksikan pelbagai kawalan dan kekangan dilaksanakan.
Tidak mahu ketinggalan menceriakan sambutan Syawal kali ini, Ayu Damit tampil dengan single berjudul Riang Ria Lebaran ciptaan KD Records dan lirik oleh KD Records dan Ayu sendiri.
Turut menyumbang suara di dalam lagu ini ialah Bob Yusof, Syura, Asmidar, Shah Eranz, Aruel Ariel dan Fitri Hiswady
Menurut Ayu atau nama sebenarnya, Norayu Damit, 33, idea Riang Raya Lebaran tercetus selepas mengenangkan keterbatasan umat Islam khususnya untuk menyambut lebaran susulan pandemik.
“Awalnya rancang untuk menyanyikan lagu ini secara berpasangan, dua lelaki dan dua perempuan. Bagaimanapun bila saya nyatakan hasrat untuk buat lagu raya, kawan-kawan lain pun berminat.
“Jadi apabila melihat kepada reaksi baik mereka, saya ambil keputusan untuk bawakan lagu itu beramai-ramai. Mengapa tidak kan? Barulah nampak meriah. Kiranya ia imbau memori lagu-lagu raya era 2000 dulu yang tampilkan ramai penyanyi dalam sesebuah naskhah.
“Komitmen yang diberikan semua sangat baik dan proses menyiapkan lagu ini hanya ambil masa seminggu sahaja. Penggambaran muzik video dilakukan di kediaman pengasas Jamu Mak Dara, SM Gadaffi Syed Ali atau Habib di Beverly Height, Kuala Lumpur dari jam 12 tengahari hingga 1 pagi keesokan harinya.
“Alhamdulillah dipermudahkan. Masing-masing saling membantu dan curah idea demi memastikan lagu ini menjadi seperti mana yang diharapkan. Riang Ria Lebaran juga mendapat sokongan daripada FMC Music,” katanya kepada URTV.
Ayu berkata demikian ketika ditemui di Pak John Steamboat & BBQ Buffet IOI City Mall, Putrajaya, semalam.
Ditanya sama ada Ayu sanggup berhabis demi lagu raya ketiganya itu, ibu kepada tiga cahaya ini meletakkan kepuasan sebagai keutamaan di dalam berkarya.
“Bagi saya apa yang mustahak, kita puas hati. Itu sudah memadai. Sebab kalau melihat kepada kesungguhan kawan-kawan dalam memberikan komitmen, saya rasa terharu. Nak buat ‘cincai’ tak boleh juga.
“Projek ini tak akan berjalan kalau seorang. Ia hasil kerja sepasukan. Bayangkanlah dalam lagu ini pun, kita ada tiga guru vokal iaitu Bob, Aruel dan Fitri.
“Begitu juga dengan Asmidar, Syura dan Eranz yang kita sudah sedia tahu kualiti vokalnya. Adanya mereka saya kira ia melengkapi,” katanya lagi.
Muzik video Riang Ria Lebaran boleh ditonton di saluran youtube FMC Music bermula 21 April, jam 8 malam dan lagu ini boleh didapati di semua platform digital mulai 22 April.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

