CENDAWAN memang sedap bila dijadikan bahan masakan, tetapi bukan semua cendawan boleh dimakan. Dalam banyak jenis cendawan, ada juga yang unik dan aneh rupanya. Salah satunya cendawan dari kumpulan ‘Bankeraceae’ ini.

Sekali lihat, cendawan ini seakan mempunyai sebentuk topi yang berlubang-lubang. Apa yang unik, cecair merah di sekitar ‘topinya’ itu kelihatan seperti  cairan berdarah yang meleleh keluar dari badan.

Cendawan ini dikenali sebagai ‘cendawan gigi berdarah’ atau nama saintifiknya ‘Hydnellum peckii’. Ia boleh ditemui di Amerika Utara terutamanya di bahagian barat laut Pasifik dan di Eropah. Namun, ia juga didapati telah ditemui di Korea dan Iran.

Selain nama komersialnya ‘Bleeding tooth fungus’, cendawan ini turut digelar dengan pelbagai nama lain. Antaranya Devil’s tooth, Bile tooth, Strawberries and cream dan Red juice tooth.

Cendawan berdarah, tampak unik dengan cecair merah seakan darah.

Cendawan jenis ini merupakan spesies yang banyak tumbuh pada akar pokok jenis konifer dan juga di tanah lembap. Di seluruh dunia terdapat berjuta-juta spesies cendawan. Ada yang dikenal pasti dan ada yang masih dalam kajian.

Untuk spesies ‘cendawan berdarah’ ini, masih belum banyak kajian mengenainya. Mungkin juga kerana cendawan ini tumbuh di habitat yang berlalitud tinggi terutama di kawasan pergunungan yang beriklim sejuk menyebabkan ia sukar dicari.

Saiz cendawan ini boleh mencapai sehingga 15 sentimeter. Cecair merah yang keluar daripada cendawan ini adalah sesuatu yang menjadikan ia tampak unik. Apakah cecair merah itu?

Cecair merah memenuhi ‘topi’ cendawan ini.

Cecair merah tersebut merupakan salah satu pigmen daripada cendawan itu yang dikenali sebagai atromentin, iaitu sejenis cecair yang mempunyai ciri-ciri anticoagulant (bahan anti gumpal).

Fungsi anticoagulant ini sama seperti ubat jenis heparin yang banyak digunakan dalam bidang perubatan bagi menghalang pembekuan darah.

Terdapat beberapa kajian daripada saintis Barat yang mendakwa cecair merah tersebut berpotensi untuk digunakan dalam bidang perubatan. Ini kerana penelitian awal menunjukkan cecair merah itu mempunyai anti bakteria dan juga anti kanser. Mungkin ia boleh digunakan sebagai antibiotik bukan sahaja kepada haiwan, tetapi mungkin juga sesuai untuk manusia.

Jika cecair merah itu diproses, ia boleh digunakan sebagai pelarut untuk membuat bahan kimia lain seperti racun serangga. Malah, jika cendawan ini dikeringkan, ia boleh dijadikan perwarna kain (kuning air) yang berasaskan tumbuhan.

Namun, setakat ini belum ada atau kajian khusus tentangnya dan ia masih lagi dalam kajian pakar mikologi. Saintis juga belum dapat mengenal pasti secara terperinci, apakah sebenarnya fungsi atromentin kepada organisma hidup seperti cendawan ini.

Kewujudan atromentin pada cendawan ini boleh dianggap sebagai satu mekanisme atau keperluan untuk cendawan tersebut melangsungkan hidup. Ini kerana anti bakteria dalam cecair itu mampu menjadi pelindung dkepada cendawan itu daripada serangga perosak terutamanya seperti serangga dan kumbang.

Cendawan ini memang unik, tetapi ia tidak boleh dimakan kerana beracun. Mengikut kajian daripada pengkaji Sweeden, cendawan jenis ini menyerap heavy metal iaitu unsur radioaktif dalam perut bumi sebanyak sembilan peritus yang menyebabkan ia berbahaya kepada manusia jika dimakan.

Cendawan ini unik namun bahaya jika dimakan.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/