JIKA disebut istilah karnivor, ia sinonim dengan haiwan yang memakan daging atau predator sebagai sumber makanan utama. Mungkin ramai tidak tahu, terdapat beberapa jenis tumbuhan pemakan daging dan serangga. Salah satunya ialah Dionaea Muscipula.
Dionaea Muscipula merupakan tumbuhan dari genus monotip. Walaupun memakan serangga seperti labah-labah dan kumbang, ia juga mampu memakan haiwan seperti katak.
Tumbuhan ini pertama kali ditemui di Carolina Utara pada 2 Januari 1760 oleh Gabenor Kolonial, Arthur Dobbs. Kemusykilannya bagaimana tumbuhan ini memakan mangsanya terjawab setelah didapati ada sesuatu yang luar biasa pada bahagian daunnya.
Daun tumbuhan aneh ini mempunyai sensor yang sangat sensitif, terutama pada bahagian sesungut. Pantang sekali sesungut seperti gigi tajam itu disentuh, pasti daun yang bentuknya mirip mulut ternganga itu akan terkatup rapat. Mekanisme inilah yang digunakan oleh Dionaea Muscipula untuk memerangkap mangsanya.


Setiap kali daunnya dirangsang oleh mangsa, serta-merta daunnya akan tertutup dan memerangkap segala yang ada didalamnya. Amat menakjubkan kerana tumbuhan ini mampu menutup daunnya dengan kecepatan yang sangat tinggi, iaitu tidak sampai pun satu saat.
Namun jika saiz mangsa terlalu kecil, mulut daun dan sesungut tidak akan tertutup rapat. Ini bagi membolehkan serangga kecil itu dapat melepaskan diri. Bukan bermaksud ia menolak rezeki yang terhidang, tetapi makanan sekecil itu baginya benar-benar tidak mengenyangkan. Untuk itu, ia akan menunggu sehingga jaring perangkapnya disentuh oleh serangga bersaiz besar.
Apabila mangsa yang ditunggu-tunggu telah masuk perangkap, tumbuhan ini dengan segera menutup daunnya rapat-rapat. Gerakan-gerakan mangsa yang hendak membebaskan diri akan membuatkan daun semakin erat mengepit. Tumbuhan ini kemudian merembeskan sejenis cecair untuk menghancurkan dan melarutkan daging mangsanya.


Lazimnya, masa yang diambil untuk proses pencernaan mengambil tempoh lima hingga dua belas hari. Selepas itu, barulah daun akan dibuka semula. Apabila daun dibuka yang kelihatan cuma bahagian sisa mangsa seperti tulang-tulang. Sisa ini akan ditiup angin dan dihanyutkan oleh hujan.
Bagaimanapun, masa yang diambil untuk perangkap ini membuka semula daunnya bergantung kepada saiz mangsa, suhu, usia perangkap dan beberapa kali ia telah melalui proses tersebut.
Pun begitu, tumbuhan unik ini bukan mudah menutup daunnya. Sensasi perangkapnya begitu khusus hinggakan dapat membezakan antara benda hidup dan rangsangan bukan dari pemangsa.
Misalnya, jika anda meletakkan sesuatu yang tidak bergerak seperti serangga mati, batu, atau terkena titisan hujan, perangkap tidak akan ditutup rapat. Sebaliknya, daun perangkap akan segera dibuka semula dan ‘meludahkannya’ keluar.
Reaksi aneh yang ditunjukkan oleh Dionaea Muscipula ini pernah menjadi perbincangan di kalangan saintis botani suatu ketika dahulu. Namun, para pengkaji masih tidak pasti sejarah evolusi tumbuhan tersebut. Masih sukar ditafsirkan bagaimana flora yang tidak memiliki sistem saraf atau mana-mana bahagian otot itu mampu menutup perangkapnya.
Antara teori yang dikaitkan dengan kebolehan tumbuhan ini ialah faktor tekanan. Mungkin ia terjadi disebabkan oleh beberapa jenis tekanan bendalir yang diaktifkan oleh arus elektrik melalui setiap hujung daun membuatkan daunnya mempunyai keupayaan begitu unik untuk memerangkap mangsa.


____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

