KHABAR gembira kepada hampir sejuta pembayar cukai daripada golongan isi rumah pendapatan pertengahan (M40) apabila kerajaan akan mengurangkan kadar cukai individu pemastautin. GAMBAR: Abd Razak Aid

DISANGKA esok (Selasa), rupanya hari ini (Isnin) diisytihar Hari Raya Aidilfitri. Kerana itu ramai terkejut apabila hari ini raya menjelma. Ramai juga kelam kabut kerana belum membuat persediaan secukupnya. 

Ramai bercadang membeli barang keperluan seperti ayam, daging, ikan, sayur dan sebagainya hari ini. Nampaknya sambar sahajalah stok yang ada dalam peti sejuk. Rancangan bakar lemang atau masak ketupat juga tangguh dahulu.

Suasana ini mengingatkan penulis kepada kelam kabut Aidilfitri 1983. Dua buah negeri, Perak dan Johor, mengisytiharkan hari raya sehari lebih awal daripada negeri-negeri lain di Malaysia atas titah Sultan masing-masing. 

Perisitiwa tidak diduga ini menyaksikan kerajaan negeri menggerakkan semua saluran maklumat seperti Jabatan Penerangan, polis, pejabat agama, pejabat daerah dan lain-lain pergi ke pelosok desa memberi makluman kepada rakyat. Maklum masa itu bukan ada kemudahan komunikasi seperti sekarang. Ramai orang kampung radio pun tidak ada.

Hari ini yang sudah sampai ke kampung halaman tentu lega. Yang merancang hendak balik kampung hari ini nampaknya tidaklah sempat menyambut raya pertama bersama kaum keluarga dan saudara mara. Tidak mengapa, yang penting dapat balik menyahut lambaian desa setelah dua tahun terhalang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Kiraan hari raya sekarang jauh lebih mudah berbanding tahun 60-an ketika penulis masih bersekolah rendah di Kampung Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak. Sekarang dua kaedahdigunakan iaitu secara rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (kiraan). 

Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam mementukan awal bulan, termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Ia adalah selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang dipersetujui semua negeri.

Jika anak bulan tidak kelihatan, kaedah hisab diguna pakai. Kerana itu tarikh hari raya dapat dijangka lebih awal, malah sudah siap ada dalam kalendar tahun berkenaan. Selalunya tarikh ini tidak silap. Namun nampaknya tahun ini ia tergelincir juga. 

Tahun 60-an, tempat mencerap anak bulan pun hanya ada dua tiga sahaja, yang popular Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah. Tahun ini aktiviti cerapan dilaksanakan di 29 buah lokasi seluruh negara. 

Baca artikel berkaitan: Siapa menantu pilihan anda, guru atau jururawat?

Waktu dahulu, nampak anak bulan kriteria utama penentuan hari raya. Kerana itu sehingga saat akhir baharu tahu. Apabila sudah ada pengumuman rasmi tarikh hari raya, ketuk-ketuk atau kerentung di surau dipukul bertalu-talu dan bertali arus. Fahamlah orang kampung esok hari raya. Bolehlah mula masak memasak. 

Kerentung surau berperanan penting kerana bukan semua penduduk kampung mempunyai radio. Yang ada radio akan menjadi pembawa berita kepada yang lain. 

Sebenarnya jika direnung kembali, ada thrill juga tahu tarikh hari raya pada saat akhir. Tengok anak bulan dahulu real punya tengok, real punya keputusan. Sekarang kalendar seperti sudah tentukan. Jika tercatat di kalendar tarikh itu hari raya, maka jadilah ia. Tetapi tahun ini ia tidak menjadi!

Dulu, apabila dijangka ada pengumuman hari raya, yang ada radio akan berkumpul menunggu dengan penuh debar. Kadang kala persiapan masak memasak sudah sedia, tapi rupanya raya lusa, bukan esok. 

Ada kala pula persiapan belum lengkap, sekali hari raya diumum esok. Kelam kabut tetapi seronok! Tahun ini tidak diduga kisah ini terjadi pula.

Tidak pasti tarikh raya masalah juga kepada penduduk kampung. Sukar mereka menjangka tarikh sesuai membeli keperluan untuk masak sajian di pagi raya, khususnya barangan basah dan mudah rosak seperti daging, sayur juga ikan.

Jika barangan basah sudah dibeli pada hari ini atas andaian esok hari raya, menjadi masalah untuk menyimpan jika esok belum raya. Tidak ada peti sejuk di rumah kerana bekalan elektrik pun tidak ada di kampung. 

Bagi keluarga penulis, jarang membeli daging. Pagi raya disajikan masakan ayam peliharaan. Ayam boleh ditangkap sehari dua lebih awal dan dikurung untuk disembelih apabila tarikh raya sudah pasti.

Jika ada pun sedikit daging yang dibeli ialah untuk membuat serunding yang memang menjadi kegemaran bapa penulis. Serunding boleh dimasak awal dan disimpan. Daging dipotong kecil dan digaul dengan kelapa parut serta dimasak kering. Serunding buatan emak memang enak. Tapi emak sendiri tidak makan daging! 

Kesukaan keluarga yang mesti ada dalam menu hari raya ialah ‘sambal Jawa’. Namanya sambal tetapi bukan sambal. Ia makanan kombinasi suhun, tempe, tauhu, kentang dan dicampur sedikit kobis yang dimasak kering. Boleh juga dicampur petai. 

Pagi raya keluarga penulis makan nasi. Tengoklah menu lauk emak, sama ada ayam masak lemak, masak kicap atau gulai. Jiran pula ada yang memberi ketupat original janur (daun muda) kelapa, bukan ketupat segera seperti sekarang. Sedap ketupat dimakan dengan ayam masakan emak, juga serunding daging. Cukuplah alas perut sebelum ke surau solat sunat Aidilfitri. 

Malam raya, ketika emak dan kakak sibuk di dapur, penulis dan abang mengambil kesempatan bermain mercun dan meriam buluh. Halaman rumah diterangi rentetan lampu minyak yang dipasang berkeliling halaman. Pancaran lampu gaselin dari dalam rumah menambah cerah sekeliling.

Lampu gaselin hanya dipasang pada hari istimewa seperti Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha. Pada hari-hari lain penulis dan keluarga hanya bertemankan sinaran lampu minyak tanah.

Suasana desa sudah banyak berubah. Sudah ada kemudahan elektrik, telefon, air dan jalan tar. Warga desa kini mampu menikmati kehidupan yang pada beberapa dekad lalu hanya dalam impian. 

Mereka juga sudah tidak perlu tertanya-tanya untuk kepastian tarikh hari raya. Segalanya sudah jauh lebih mudah daripada dahulu. Tarikh hari raya sudah boleh diduga, sekadar menunggu pengumuman rasmi kerajaan. 

Pelbagai saluran menjadi sumber makluman, baik TV, radio atau media sosial. Tidak perlu menunggu ketukan kerentung di surau seperti dahulu. Malah ketukan itu pun sudah hilang ditelan zaman. Yang tinggal hanya kenangan yang tidak mudah dilupa. Selamat Hari Raya.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram