ANDA biasa terkena sedu? Semua orang pernah mengalami sedu ini. Ia tindakan refleks yang menghasilkan bunyi ‘hic’. Lazimnya, sedu ini hilang sendiri tanpa perlukan sebarang rawatan, kecuali dalam kes yang kronik.

Pelbagai petua juga dilakukan untuk menghilangkan sedu. Masyarakat Melayu contohnya, sering menganggap bayi yang sedu sebagai tanda hendak membesar.

Sedu adalah keadaan biasa dialami seluruh penduduk dunia, tidak kira bayi, kanak-kanak, orang dewasa bahkan warga tua. Malah, sains mendapati manusia mula tersedu bermula dari dalam rahim ibu lagi. Hasil imbasan ultrabunyi membuktikan bahawa sedu boleh berlaku seawal usia janin enam minggu, sekalipun saiznya ketika itu hanya sebesar biji padi.  

Sedu ini dicetuskan oleh diagram. Dalam keadaan normal, diagram selalu bekerja dengan sempurna. Apabila kita menarik nafas, diagram akan bergerak turun ke bawah lalu udara mengalir masuk ke dalam paru-paru. Dan saat kita menghembuskan nafas, diagram akan menolak semula udara keluar daripada paru-paru.

Namun, tugas diagram kadangkala boleh terganggu. Ada ketikanya, ia mengalami gangguan di mana otot diagram akan mengecut secara tidak terkawal diikuti dengan penutupan peti suara. Udara yang masuk ke dalam kerongkong secara mengejut itu akan melanggar peti suara, lalu menghasilkan bunyi ‘hic’, iaitu bunyi sedu yang diiktiraf secara universal. Gangguan ini selalunya berlaku tidak lama, iaitu sekitar beberapa minit sahaja.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kes di mana sedu terjadi tanpa henti. Kes paling terkenal melibatkan seorang lelaki dari Iowa, Amerika Syarikat bernama Charles Osborne,  yang mengalami sedu secara berterusan selama 68 tahun, dari tahun 1999 hingga 1990.

Charles Osborne, lelaki paling lama tersedu yang direkodkan.

Pada mulanya, Osborne tersedu secara purata sekitar 40 kali setiap seminit. Tahun-tahun berikutnya, kadar sedu lelaki tersebut menjadi perlahan dan berkurangan kepada sekitar 20 kali seminit. Sedu yang dialami Osborne akhirnya berhenti kira-kira setahun sebelum kematian beliau pada tahun 1991.

Osborne dikirakan telah mengalami sedu lebih 430 juta kali dalam hidupnya. Dan kes luar biasa ini telah dicatatkan dalam Guinness Book of World Records sebagai lelaki dengan masalah sedu paling lama di dunia.

Satu lagi kes dramatik turut dilaporkan berlaku pada tahun 2006. Christopher Sands, seorang lelaki dari Lincolnshire, England, disifatkan mengalami sedu paling buruk pernah direkodkan. Ini kerana, setiap kali sedu, dia akan mengalami gangguan tidur dan sukar untuk bernafas dengan betul.

Masalah yang dihadapi Christopher selama tiga tahun mendapat perhatian ahli perubatan dari Amerika Syarikat dan menawarkan untuk melakukan diagnosis ke atas lelaki terbabit.

Hasil pemeriksaan mendapati Christopher rupa-rupanya mempunyai tumor di bahagian otak yang mana ia diyakini sebagai penyebab sedu. Selepas tumor itu dikeluarkan, penyakit sedu yang dihidapi lelaki itu telah hilang.

Christopher Sands mengalami sedu berterusan selama 3 tahun. Setelah menjalani pembedahan membuang tumor, penyakit sedunya hilang.

Pelbagai teori tentang punca kepada penyakit sedu ini telah dibincangkan, antaranya faktornya kerana makan terlalu cepat, merokok, minum alkohol secara berlebihan dan menelan terlalu banyak udara. Bagaimanapun, ramai pakar mengatakan bahawa punca sebenar tersedu masih lagi misteri.

Keanehan tentang fenomena ini juga telah dibahaskan oleh ahli-ahli sains sejak beberapa dekad lalu, khususnya dalam mencari penjelasan sebenar penyebab kepada gangguan tersebut. Semakin dibincangkan, semakin banyak teori yang menjadi perdebatan.

Sekumpulan pengkaji dari Perancis, misalnya mencadangkan sedu mempunyai kaitan dengan evolusi manusia. Dalam hal ini, mereka percaya bahawa nenek moyang kita adalah berasal dari laut di mana leluhur terdahulu mempunyai insang untuk membantu mereka bernafas.

Pengkaji yang diketuai oleh Christian Straus dari Hospital Pitie-Saltpetriere, Perancis, itu menjelaskan bahawa saraf otak yang mengawal pengudaraan insang telah melalui fasa evolusi mamalia moden termasuk manusia. Beliau dan pasukannya yakin evolusi itu telah disesuaikan untuk membantu mamalia belajar menyusu. Ini kerana, ciri pergerakan glotis tertutup rapat saat mamalia menyusu bagi mengelak susu memasuki paru-paru disifatkan mirip ketika manusia tersedu. Teori sedu ini telah pun diterbitkan dalam Jurnal BioEssays.

Antara petua jika bayi tersedu dengan melekatkan cebisan kertas basah pada dahinya.

Ternyata, banyak hal-hal pelik dikaitkan dengan sedu termasuklah cara untuk merawatnya. Difahamkan, terdapat beberapa kaedah telah diguna pakai oleh masyarakat dunia untuk menghilangkan sedu.

Dalam masyarakat Melayu misalnya, apabila bayi tersedu, cebisan kertas basah biasanya akan ditampal ke dahi bayi. Dan minum segelas air sambil menahan nafas juga sering dilakukan bagi orang dewasa yang tersedu.

Walaupun cara penyembuhan itu agak pelik dan semacam tidak logik, namun ajaibnya selalunya ia berkesan juga.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/