ISMAIL SABRI YAAKOB./ Gambar Fb Bernama

ANALISIS

KETIKA Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semakin tenang menguruskan negara bersama dengan barisan Kabinet yang terdiri daripada pelbagai parti, masih ada suara-suara yang mahukan PRU-15 diadakan secepat mungkin.

Mungkin menyedari keadaan itulah Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, kestabilan yang sedang dikecapi sekarang tidak perlu dikucar-kacirkan dengan desakan agar Parlimen dibubarkan.

Kata beliau, jika UMNO mahu Parlimen dibubarkan ketika ini, rakyat akan menghukum parti yang mengkucar-kacirkan kestabilan yang sedang dinikmati. Nazri turut mengingatkan titah Yang di-Pertuan Agong yang manu melihat sebuah kerajaan stabil.

Kalau diperhatikan, biarpun ketika ini parti-parti tidak kira pembangkang atau yang berada dalam kerajaan tetap melakukan persediaan bagi menghadapi PRU-15, namun mereka tidak mahu ia diadakan dalam terdekat, mereka mahu kerajaan sedia ada dibenarkan menguruskan negara sehingga penggal berakhir.

Tetapi malangnya yang buat kecoh dan sentiasa  berada dalam keadaan bagaikan ‘cacing kepanasan’ ialah segelintir pemimpin UMNO. Ada antara mereka adalah dalam kalangan disebut ‘kluster mahkamah’ . Mereka inilah yang teruja sangat mahu PRU-15, motifnya kita tidak pasti.

Namun yang pasti mereka terlalu teruja dengan kemenangan di PRN Johor dan Melaka, walaupun pemerhati politik malah dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri menganggap kemenangan itu terutama di Johor tidak boleh dijadi ukuran kekuatan BN, tetapi fakta itu seolah-olah tidak dipedulikan.

Kelompok pemimpin yang tempoh  ‘kuasa kepemimpinan’ mereka dalam parti sudahpun berakhir mahu PRU-15 tetapi terlalu takut mengadakan pemilihan dalam parti. Andaian kononnya pemilihan parti akan membawa perpecahan hanya alasan, sebenarnya mereka bimbang dengan kedudukan, kewibawaan dan populariti Ismail Sabri, apatah lagi keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang menamakan Ahli Parlimen Bera itu sebagai calon PM bagi BN dalam PRU-15.

Dalam situasi itu, mereka mungkin bimbang Ismail Sabri akan mendapat sokongan padu ahli-ahli UMNO untuk menjadi Presiden parti itu. Jika itu terjadi ia bukanlah janggal malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pasti memahami itulah cara terbaik untuk memperkukuhkan parti yang mana UMNO kembali kepada ‘tradisi’ iaitu Perdana Menteri adalah Presiden UMNO.

Lagipun dengan menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM, sewajarnya beliau diberi kuasa penuh untuk pasukannya dalam UMNO dan pada masa sama tidak diganggu oleh mana-mana pemimpin UMNO yang mendesak PRU-15 diadakan secepat mungkin.

Ismail Sabri dikatakan orang parti dan amat setia kepada parti. Tetapi perlu difahami sebagai Perdana Menteri, beliau juga perlu mengambil kira kedudukan rakyat dan negara yang baru sahaja mahu bangkit semula selepas dilanda pandemik Covid-19. Justeru adalah tidak wajar jika rakyat mahu diseret ke medan pilihan raya.

Kalau ada yang ‘dok teruja’ nak berdebat tu, biarkan saja…anggaplah itu ‘hiburan malam’. Apa yang penting Ismail Sabri tidak diganggu sama ada dari dalam atau luar parti ketika menguruskan negara. Bila pilihan raya mahu diadakan, biarlah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri menentukannya.

Lagipun setakat ini, Ismail Sabri tidak menghadapi apa-apa masalah dalam menguruskan negara bersama-sama rakan daripada Perikatan Nasional (PN) dan parti dari Sabah serta Sarawak. Keadaan itulah memberi keyakinan kepada pihak luar bahawa politik Malaysia semakin stabil.

Namun penulis percaya kelompok ‘cacing kepanasan’ tidak akan duduk diam. Mereka akan mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen. Jika itu situasi itu berlaku terserahlah kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukannya. Kalau beliau merasakan hujung tahun selepas Bajet 2023 dibentangkan…silakan saja…tetapi pastikan dulu manuver oleh segelintir pemimoin dalam parti sendiri tidak berlaku.

Tidak dapat dinafikan banyak usaha dilakukan oleh Ismail Sabri semakin menambat hati rakyat terhadap kepemimpinannya tetapi bukan bermaksud dalam partinya semua gembira! Kenapa? Fikirlah sendiri…jadi beliau harus berhati-hati..