SEORANG pelajar Tingkatan 1 dilapor berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin memaklumkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui talian MERS 999 kira-kira pukul 2.49 petang semalam.
Menurut beliau, maklumat tersebut melibatkan seorang pelajar Tingkatan 1 yang dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah.
Mohd Alwi berkata, pihak polis dan perubatan telah digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan dan menjalankan siasatan awal.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk menerima rawatan lanjut dan dilapor berada dalam keadaan kritikal.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Alwi berkata, pihaknya masih mengumpul keterangan daripada saksi-saksi.
Pada masa sama, beliau berkata, pihak polis turut meneliti semua aspek yang berkaitan.
Oleh yang demikian, Mohd Alwi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini.
“Pihak polis memohon agar privasi mangsa, keluarga dan pihak sekolah dihormati sepanjang tempoh siasatan dan rawatan.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan kebajikan mangsa dan keluarga terus terpelihara.
“Pihak polis juga akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh serta sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

