Prof. Datuk Salleh Buang menghembuskan nafas terakhir di Alor Setar, Kedah, semalam.

OLEH: DATUK DR. CHAMIL WARIYA

SAYA mengenali tulisan-tulisannya mengenai media dan undang-undang terlebih dahulu sebelum mengenali orangnya.

Karya beliau yang banyak disiarkan di dada-dada akhbar mengenai undang-undang ditulis dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang biasa, menyebabkan saya tertarik untuk menatapnya.

Justeru apabila saya menyertai Malaysian Press Institute (MPI) pada 2008, saya mencadangkan kepada unit latihan MPI supaya membawa beliau sebagai penceramah untuk subjek media dan undang-undang yang sering kita anjurkan untuk para pengamal media.

Beliau yang saya maksudkan adalah Datuk Salleh Buang yang kembali ke rahmatullah pada pagi 11 Mei 2022 di Alor Setar, Kedah, di mana beliau bermastautin selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan sebagai peguam kanan Persekutuan. Alor Setar adalah tempat asal isterinya.

Allahyarham asalnya anak kelahiran Johor dan setelah bersara pernah berkhidmat sebagai orang akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan profesor tamu di Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bharu.

Dan selama 14 tahun sosok yang bernama Salleh Buang mengajar subjek tersebut untuk program latihan MPI.

Kerana itu, apabila kita di MPI mendapat khabar duka, pemergiannya ke alam abadi pada pagi 11 Mei 2022, kami di MPI sukar mempercayainya walhal kita tahu sejak waktu kebelakangan ini, keadaaan allahyarham sedikit uzur.

Tetapi kami reda dengan pemergiannya.

Semasa hayatnya, allahyarham adalah seorang yang komited untuk menyebarkan ilmu dan pengetahuan mendalamnya mengenai undang-undang media kepada para wartawan.

Apabila diundang untuk berceramah, beliau tidak menolaknya.

Ceramah terakhir allahyarham dengan MPI sepatutnya diadakan pada hujung Mei 2022. Beliau tetap ghairah untuk mengajar, tetapi dengan permintaan supaya kelas itu diadakan di sebuah hotel di Putrajaya, demi memudahkan pergerakannya.

MPI akur dengan permintaan itu kerana kita tahu keadaan kesihatannya tidak memungkinkan dia naik ke pusat latihan MPI yang terletak di tingkat 2, Cyberjaya Business Park.

Benarlah kata orang, manusia merancang, Allah SWT juga merancang untuk kita semua.

Bagi kami di MPI, pemergian allahyarham Datuk Salleh Buang adalah satu kehilangan besar. Saya anggap beliau sebagai seorang penceramah berstatus lima bintang untuk MPI.

Kali terakhir kami berkomunikasi adalah pada Selasa, 10 Mei 2022.

Allahyarham mengwhatsapp saya tulisan beliau berjudul Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, Pentingkah? yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada hari yang sama.

Sebagai balasan saya menghantar tanda bagus, sambil memaklumkan: “Saya dah baca sebentar tadi Datuk.”

Oleh kerana dalam tulisan itu, beliau menyentuh penubuhan Majlis Media Malaysia, saya memaklumkan: “Majlis Media rasanya dah mati tanpa nesan.”

Pandangan saya itu merujuk kepada hakikat bahawa Majlis Media Malaysia tidak akan menjadi kenyataan kerana kerajaan tidak berminat dengan penubuhan.

Selaku ahli pro-tem Majlis Media Malaysia yang telah menyiapkan tugas kami menyediakan cadangan rang-undang penubuhannya pada tahun 2020 dan menyerahkan kepada kerajaan, yang saya tahu itulah statusnya pada waktu ini.

Baca artikel berkaitan: Pakar undang-undang, Salleh Buang meninggal dunia

Kerajaan Keluarga Malaysia dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelumnya, tidak berminat untuk melaksanakan penubuhan Majlis Media Malaysia yang dianggap sebagai projek kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebagai penceramah, allahyarham Datuk Salleh memang bijak untuk memahami kehendak para peserta.

Beliau tahu bahawa undang-undang media adalah subjek yang membosankan kalau penyampaianya tidak tahu untuk mengajar mata pelajaran tersebut dengan cara yang menyeronokkan.

Justeru, ceramah-ceramah allahyarham senantiasa dihiasai dengan jenaka dan lawak yang ada kaitannya dengan para peguam, para hakim dan pengamal media.

Kajian kes sebenarnya mengenai undang-undang berkaitan media seperti memfitnah, memplagiat, melanggar hak cipta, akta rahsia rasmi dan lain-lain menjadikan para peserta memahami dengan jelas apa-apa yang akan para wartawan alami jika mereka melanggar undang-undang, baik yang khusus mengenai media dan kewartawanan atau secara tak langsung membabitkan para wartawan sebagai seorang warganegara.

Contoh-contoh yang berlaku di luar negara berkaitan media dan undang-undang juga didedahkan kepada para peserta yang mengikuti ceramah sebagai perbandingan dengan apa yang berlaku di negara ini.

Pemergian allahyarham juga sangat dirasai oleh Puan Fiza, Pengurus Kanan Latihan yang kerap berurusan dengan allahyarham.

Menurut Puan Fiza: “Allahyarham yang lebih mesra dipanggil Prof sangat rapat dengan saya. Setiap kali berkursus allahyarham akan pastikan saya ada bersama semasa kursus kerana katanya Fiza sahaja yang faham apa yang Prof nak.”

Puan Fiza juga menceritakan sisi allahyarham yang ramai tidak tahu.

Katanya: “Allahyarham juga seorang yang sangat sensitif terutamanya kalau saya sudah lama tidak menghubungi. Allahayarham sering menyakat dengan berkata “siapalah nak ingat kita..kita ni kan dah tua”..bila teringat kata-kata allahyarham terus air mata saya berjurai…allahyarham saya anggap seorang ayah yang sangat baik hati dan mudah terhibur bila berbicara dengannya.”

Semoga segala ilmu yang disampaikan oleh allahyarham kepada ratusan pengamal media di negara akan terus dimanfaatkan oleh penerimanya dan allahyarham diberi ganjaran yang setimpal di dunia abadi.

Bagi pihak MPI, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga allahyarham.

Sahabat ku, moga kamu tenang di alam di mana kita semua akan kembali suatu hari nanti.

Amin ya rabalalamin.

Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram