Pembuat wau, Kalimi Abdul Hadi, 59, teruja apabila diberikan peluang untuk mempamerkan proses membuat wau secara ‘live’ di Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 yang bermula Khamis lalu sehingga Ahad ini di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Kalimi berkata, dia teruja kerana sudah dua tahun tidak ‘beraksi’ di hadapan penonton untuk menunjukkan kaedah membuat wau secara tradisional kerana sebelum ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Apabila diberikan kesempatan dan peluang untuk ‘beraksi’ di hadapan penonton, saya rasa lebih puas. Maklumlah tempoh dua tahun itu cukup lama. Lagipun pembuatan wau ini adalah ‘jiwa’ dan mata pencarian utama saya untuk menyara keluarga.

“Apa yang saya suka ialah, semasa proses membuat wau dilakukan, ada pengunjung yang menonton bertanya soalan mengenai kaedah menghasilkan wau. Jadi saya akan jawab untuk berkongsi ilmu dengan mereka,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Kalimi, sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam industri pembuatan wau secara tradisional di Kelantan, dia sudah menghasilkan lebih 5,000 buah wau yang terdiri daripada pelbagai jenis.

“Boleh dikatakan semua jenis wau sudah saya buat antaranya wau bulan, wau kucing, wau jalur budi, wau puyuh dan banyak lagi dan tentunya wau bulan adalah yang paling mendapat permintaan tinggi,” katanya

Selain itu katanya, dia turut membuat wau sobek mengikut tempatan bagi tujuan perhiasan yang dibuat oleh pelanggan dengan bantuan rakannya Suki Hussin yang berumur 53 tahun.

“Semua wau yang dihasilkan oleh saya dan Suki menggunakan buluh duri yang mempunyai ketahanan kukuh dan stabil. Saya tidak menggunakan buluh jenis lain kerana kualitinya tidak tahan lama dan susah dibentuk.

Dalam pada itu katanya, dia mula mempelajari cara-cara untuk membuat wau ketika berumur 11 tahun daripada ayahnya dan juga mereka yang merupakan pakar dalam bidang berkenaan.