Suspek bersama Myvi dan motosikal yang turut menggunakan nombor palsu.

INGATKAN Myvi sahaja guna nombor pendaftaran palsu PGT 124, rupanya samseng jalan raya yang buat aksi “gila” di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Sabtu lalu, turut miliki tiga buah motosikal curi mengguna nombor palsu.

Kesemua motosikal itu adalah sebuah Yamaha Ego Avantiz bernombor JFV 124, Yamaha Nouvo LC, menggunakan MALAYSIA 124 dan KTM 790 Adventure dengan pendaftaran QQ 124.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, semua itu terbongkar selepas suspek berusia 31 tahun ditahan semalam kira-kira pukul 4.05 petang.

Katanya susulan daripada tangkapan yang dilakukan, pihak polis berjaya merampas tiga buah motosikal bersama satu kunci kereta berlambang Perodua bersama alat kawalan jauh, sebuah Myvi warna putih nombor pendaftaran PGT 124 (palsu).

“Turut dirampas sebatang rotan panjang berukuran lebih kurang 90 sentimeter, dua rangkai kunci motosikal Yamaha dan serangkai kunci motosikal KTM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UtusanTV sebelum ini melaporkan, suspek telah ditahan oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Daerah Kuala Selangor dan direman sehingga hari ini (Jumaat).

Baca artikel berkaitan: Pemandu Myvi Putih PGT 124 buat aksi ‘gila’ di MRR2 diberkas polis

Eng Lai berkata, suspek kemudian ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.

“Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad,” katanya.

Tambahnya, semakan mendapati suspek juga mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

“Susulan daripada tangkapan yang dilakukan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di sekitar kawasan Kuala Lumpur, Selangor dan Johor,” katanya.

Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan JPD Sentul 03-40482222.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram