Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (AS-ABC), Ted Osius (dua dari kanan) di Washington DC. GAMBAR: BERNAMA

BIRO Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO menggesa agar Persidangan Khas ASEAN-AS yang diadakan di Washington, Amerika Syarikat perlu membincangkan langkah-langkah bagi menyelesaikan pelbagai krisis antarabangsa yang sedang melanda dunia ketika ini.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, antaranya adalah krisis akibat konflik Russia-Ukraine, ancaman geopolitik dengan himpitan kuasa besar di Laut China Selatan dan tindakan memencilkan konflik Israel-Palestin.

Ikmal Hazlan Ikmal Hisham

“Reaksi masyarakat antarabangsa terhadap Rusia-Ukraine misalnya dilihat hanya akan membiarkan kuasa besar berhampiran ASEAN untuk melanggar kedaulatan wilayah negara-negara ASEAN khususnya tuntutan bertindih di Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau mengulas mengenai lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Amerika Syarikat bagi menghadiri Persidangan Khas ASEAN-AS yang diadakan di Washington, Amerika Syarikat.

Katanya, lawatan kerja Perdana Menteri itu dilihat penting kerana negara-negara ASEAN perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam memastikan proses pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19 berjalan secara tersusun, di samping Amerika Syarikat sebagai rakan dagang kedua terbesar ASEAN.

Katanya, usaha Perdana Menteri dan rakan-rakan sejawatnya dari ASEAN dalam memastikan pemulihan ekonomi antarabangsa menjadi keutamaan disambut baik Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO.

“Rakyat masih bergelut dalam proses transisi kearah endemik dan Malaysia antara negara top 20 yang paling bergantung kepada dagangan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berjiwa besar Perdana Menteri yang diinspirasikan oleh Keluarga Malaysia diharap dapat mewujudkan trajektori ke arah Keluarga ASEAN yang akan mementingkan pemulihan ekonomi, penyelesaian aman konflik antarabangsa yang akan mengakibatkan kenaikan inflasi dan bahan api, kejatuhan mata wang berbanding dolar AS serta pelbagai krisis bekalan logistik yang masih menghantui pasaran dunia dan melambatkan pemulihan ekonomi negara-negara ASEAN.

Katanya, Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga mengulangi tawaran tenaga parti dan buah fikiran Kelab-Kelab UMNO seluruh dunia bagi membantu Perdana Menteri merealisasikan misi dan visi beliau.

  • UtusanTV