ASEAN mesti terus kekal bersatu, tangkas dan berpandangan jauh dalam mendepani cabaran dunia yang semakin rencam serta tidak menentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia satu kesepakatan yang jelas selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 menutup tirai, hari ini.
Jelasnya, daripada krisis geopolitik, keselamatan tenaga, keterjaminan makanan hinggalah kestabilan rantaian bekalan, rantau ini dituntut untuk bergerak dengan semangat kebersamaan dan tanggungjawab.
“Malaysia menegaskan kepentingan memperkukuh keterhubungan serantau melalui ASEAN Power Grid, memperdalam perdagangan intra-ASEAN, mempercepat kerjasama ekonomi digital serta memperluas jaringan strategik dengan rakan-rakan yang diyakini.
“ASEAN juga harus terus menjadi suara yang konsisten dalam mempertahankan prinsip dialog, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan penyelesaian damai terhadap setiap pertikaian yang berbangkit,” katanya di Facebook, hari ini.
Katanya lagi, dalam dunia yang sedang menyaksikan pelbagai penyimpangan terhadap nilai kemanusiaan dan kestabilan sejagat, ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pemerhati.
Ujarnya, rantau ini mesti tampil sebagai wahana yang memperkukuh keyakinan, menjana pertumbuhan yang lebih adil serta memastikan masa depan yang lebih aman dan mampan buat seluruh rakyat ASEAN.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

