PRESIDEN Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khalifa bin Zayed Al Nahyan, yang memerintah sejak 2004 meninggal dunia pada usia 73 tahun, selepas berehat lama akibat sakit.

Agensi Berita Emirates (WAM) yang memetik kementerian hal ehwal presiden berkata, Allahyarham adalah anak sulung kepada pengasas Emirates, Zayed Al Nahyan.

Dalam beberapa tahun terakhir, Khalifa bin Zayed Al Nahyan hampir tidak terbabit dalam hal ehwal awam dan menyerahkan tugas pemerintahan negara kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahya.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Almarhum Presiden UAE yang kembali ke rahmatullah hari ini.

Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhum dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Sheikh Khalifa sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu itu.

Susulan berita kemangkatan Sheikh Khalifa, Al-Sultan Abdullah menghubungi Putera Mahkota Abu Dhabi untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi.

BERITA BERKAITAN UAE sumbang 1 juta dos vaksin

Menurut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada 1978 serta 1979 dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal hingga sekarang.

Atas jemputan peribadi Sheikh Mohamed, Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat ke Abu Dhabi Ahad ini untuk bersama-sama ketua negara dan kerajaan lain memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Istiadat penghormatan terakhir Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung tiga hari bermula esok hingga 16 Mei.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Sheikh Khalifa bagi pihak rakyat dan kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, kehidupan dan kepimpinan Sheikh Khalifa menyumbang secara signifikan kepada kemajuan mengagumkan UAE dan beliau bertanggungjawab memartabatkan kedudukan negara itu seperti sekarang.

“Saya amat sedih mendengar berita pemergian Yang Teramat Mulia Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi.

“Semoga Allah menerima dan merahmatinya dengan Jannah-Nya,” katanya. – BERNAMA