PELAKON jelita Korea, Song Ji Hyo mengaku tidak menyukai ‘loveline’ bersama ahli Running Man iaitu Kim Jong Kook yang menyebabkan beberapa tahun kebelakangan banyak gosip dikaitkan dengan hubungan istimewa mereka.
Menurut Ji Hyo atau nama sebenarnya Cheon Soo-Yeon dalam satu program realiti Korea iaitu The Oppa of Tteobokki House, dia menekankan bahawa membenci idea tersebut pada awalnya kerana baginya penonton akan lihat bahawa dia seorang perempuan yang mencintai dua lelaki.
Ji Hyo dalam siri Running Man pernah dikaitkan bercinta bersama seorang lagi ahli rancangan hiburan iaitu Kang Gary, namun setelah penyanyi rap kumpulan Leessang itu keluar Ji Hyo kini dikaitkan pula dengan kisah percintaan bersama Jong Kook.
“Sejujurnya, saya memang tidak suka bila orang sering kaitkan saya bercinta dengan Jong Kook. Malah saya pernah cakap dengan Jong Kook agar kami tidak saling jatuh cinta satu sama lain.
“Dulu masa Gary ada, penonton semua ingat saya bercinta dengan Gary… bila dia tinggalkan Running Man, tiba-tiba orang kaitkan saya dengan Jong Kook pula.

“Saya benci dengan gambaran yang diberikan itu seolah-olah menunjukkan saya seorang Wanita yang bercinta dengan dua lelaki pada satu masa,” ulasnya semasa ditanya oleh hos, Ji Suk Jin.
Namun, Ji Hyo akhirnya mengakui bahawa dia sudah mula selesa dengan ‘loveline’ bersama Jong Kook setelah penonton memberi reaksi positif terhadap pasangan itu.
“Saya cuba menerima loveline itu sekali tetapi terkejut reaksinya sangat baik.
“Jadi saya fikir, tidak mengapa ke untuk saya melakukan ini? patut ke saya cuba?
“Sekarang saya lebih katakan kepada diri saya ‘Jom buat lebih lagi’,” ujarnya sambil teruja.
Apabila ditanya berkenaan ciri-ciri lelaki idaman pelakon drama Was it Love? itu menjawab bahawa dia berminat dengan lelakinya mempunyai bentuk badan seperti Winnie the Pooh dan jauh berbeza jika dibandingkan Jong Kook yang tegap dan sasa.
“Saya suka lelaki yang ada sedikit perut (buncit) seperti karakter kartun Winnie the Pooh,” katanya.
Dalam sesi temu bual santai itu meskipun sudah memasuki umur 41 tahun, Ji Hyo memberitahu bahawa dia tidak pernah keluar ‘blind date’ kerana lebih suka untuk mengenali pasangannya itu nanti secara semula jadi.
“Saya tidak mahu keluar bertemu janji secara ‘blind date’. Sebaliknya jika saya jumpa seseorang yang saya suka dan rasakan sudah sampai masanya untuk berkahwin, baru saya akan fikirkan ke arah itu secara serius,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, di samping melakukan rakaman rancangan hiburan Running Man selama satu dekad dia juga telah merangkul pelbagai anugerah bersama ahli yang lain seperti Anugerah kandungan Emas di Majlis Anugerah Hiburan SBS.

