GAMBAR: Abd Razak Aid

OLEH: SAIFUL BAHAR

SEPERKARA yang amat merisaukan trend politik dalam tiga empat tahun ini ialah golongan intelektual Melayu sudah lari daripada menyokong parti UMNO.

Sebagai contoh adalah kerusi Parlimen bandar majoriti Melayu seperti Shah Alam; Ampang; Gombak; Pandan di Selangor. Lumut dan Tambun di Perak. Indera Mahkota dan Kuantan di Pahang. Setiawangsa dan Titiwangsa di Kuala Lumpur, Kota Bharu di Kelantan dan Kuala Terengganu di Terengganu.

Keyakinan terhadap kepemimpinan pemimpin UMNO saban hari kian terhakis. Terlalu banyak isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, kerakusan dan tamakkan kuasa di samping terdapat pemimpin yang mula sombong semula kerana merasakan UMNO mulai kuat.

Trend ini amat membimbangkan ketika negara bakal berhadapan pilihan raya umum pada bila-bila masa sahaja. Golongan intelektual Melayu yang tinggal di bandar-bandar besar Melayu ini amat penting kepada UMNO kerana merekalah yang akan mencorak pemikiran (ataupun public opinion) terhadap kebarangkalian UMNO disokong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Seperkara yang penting juga, sudah terdapat trend sokongan golongan intelektual Melayu ini mulai berhijrah kepada gabungan parti-parti di dalam Perikatan Nasional seperti Bersatu dan PAS.

Golongan intelektual Melayu ini amat memahami Isu-Isu kewangan yang melanda negara seperti 1MDB, Forex dan Sapura Energy.

Naratif seolah-olah ini adalah merupakan satu fitnah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak termakan kepada golongan bijak pandai Melayu.

Baca artikel berkaitan: Lulus pindaan Perlembagaan bukti kesepakatan UMNO, angkat suara akar umbi

Selagi UMNO tidak membersihkan dirinya daripada skandal-skandal kewangan tersebut, selagi itulah sokongan terhadap parti itu akan terus terhakis.

UMNO perlu memikirkan cara terbaik untuk memberi peluang pemimpin baharu dan calon-calon Ahli Parlimen yang bersih, berwibawa serta profesional mengambilalih kepimpinan.

UMNO bukan sahaja perlu memberikan nafas baharu tetapi juga jenama baharu kepada calon-calon Parlimen UMNO-BN. Calon UMNO-BN yang pernah bertanding lima atau enam penggal seharusnya memberikan peluang kepada muka-muka baharu kecuali mereka bertaraf menteri dan masih diperlukan dalam barisan Kabinet seterusnya, sekiranya UMNO dapat kembali memerintah.

Terma Politik yang sering diungkap ialah: the more friends you make in politics, you also make more enemies.

Oleh yang demikian, UMNO memerlukan strategi baharu, yang lebih berkesan. UMNO memerlukan muka-muka baharu, yang boleh memberi harapan baharu kepada negara.

UMNO memerlukan kaedah-kaedah terkini di dalam menangkis tohmahan dari pihak pembangkang menerusi media sosial. Akhbar-akhbar tempatan sudah tidak dibaca oleh rakyat.

UMNO seharusnya sudah mempunyai pelbagai portal berita di luar sana, yang secara tidak langsung akan menyokong UMNO ketika PRU-15 berlangsung dan mempertahankan UMNO ketika diserang oleh tentera siber parti pembangkang.

UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada portal berita UMNO ONLINE sahaja, yang merupakan media rasmi di alam maya.

Perlu diperingatkan sekali lagi pada PRU-15, ahli UMNO yang boleh mengundi hanyalah 3.3 juta sahaja, manakala keseluruhan jumlah pengundi kali ini ialah 21 juta orang.

Landskap politik negara sudah berubah. UMNO perlu berubah untuk tetap relevan.

Penulis merupakan penganalisis politik dan sosial.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram