OLEH: DR. NURAZILAH ZAINAL
SECARA amnya, terdapat dua polisi ekonomi yang digunakan iaitu polisi fiskal dan monetari dalam mengawal pertumbuhan ekonomi negara.
Polisi fiskal yang diselia oleh kerajaan dijalankan melalui kawalan cukai dikenakan dan perbelanjaan kerajaan manakala polisi monetari, Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan organisasi yang dipertanggungjawabkan bagi mengawal kadar faedah dan penawaran wang dalam pasaran.
Kedua-dua polisi ini mempunyai matlamat yang sejajar iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Baru-baru ini, melalui polisi fiskal BNM telah mengumumkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2 peratus. Peningkatan kadar OPR ini merupakan kali pertama dalam masa pandemik dua tahun yang lalu.
Semasa pandemik, BNM telah menurunkan OPR ke tahap lebih rendah sebanyak lima kali, dari 3.25 peratus ke 1.75 peratus. Peningkatan ini bagaimanapun tidak dijangkakan apabila pakar-pakar ekonomi rata-rata hanya beranggapan BNM akan menaikkan OPR pada suku ketiga tahun ini.
Jelas BNM, langkah ini diambil lebih awal bagi mengawal kadar inflasi dari terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.
Sehubungan dengan itu, langkah ini juga telah mendapat reaksi dalam kalangan bank-bank di Malaysia apabila mereka kini menyemak semula kadar faedah selaras dengan peningkatan OPR ini. Antaranya ialah Hong Leong Bank Bhd (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank Bhd, kedua-dua bank ini menyemak semula kadar asas dan kadar asas Islam kepada 2.88 peratus daripada 2.63 peratus.
Bank Islam Malaysia Bhd juga menyemak semula kadar asas dan kadar pembiayaan asas dengan peningkatan sebanyak 25 mata asas kepada 2.77 peratus daripada 2.52 peratus dan 5.72 peratus kadar deposit bank itu juga diselaraskan meningkat sebanyak 25 mata asas.
Bank Muamalat juga membuat peningkatan sebanyak 25 mata asas kepada 2.81 peratus daripada 2.56 peratus dan 5.81 peratus kadar deposit.
Seterusnya, Public Bank Bhd menaikkan kadar asas (BR) dan kadar pinjaman asas (BLR) / kadar pembiayaan asas (BFR) sebanyak 0.25 peratus. Susulan itu, kadar asas akan berada pada 2.52 peratus daripada 2.27 peratus dan kadar pinjaman asas/kadar pembiayaan asas akan berada pada 5.72 peratus daripada 5.47 peratus. Pada masa yang sama, kadar deposit tetap Public Bank juga akan dinaikkan dengan sewajarnya sebanyak 0.25 peratus.
Baca artikel berkaitan: Bank Negara Malaysia naikkan kadar OPR kepada 2.00%
Kita dapat melihat peningkatan kadar faedah pembiayaan dan kadar deposit yang dilakukan oleh bank-bank di Malaysia ini sejajar dengan peningkatan kadar OPR ini.
Sudah pasti peningkatan ini memberi impak yang jelas kepada rakyat dan juga ekonomi negara. Dari perspektif rakyat, dua golongan yang terkesan dapat dikategorikan sebagai peminjam dan pendeposit.
Bagi peminjam, mereka akan mengalami sedikit peningkatan terhadap bayaran bulanan pinjaman sedia ada. Kos pinjaman akan menjadi lebih tinggi jika jumlah pinjaman yang besar dan baki tempoh pinjaman yang masih panjang.
Bagi pendeposit pula, keadaan ini merupakan satu bonus bagi mereka apabila kadar pulangan yang diterima juga turut meningkat selaras dengan peningkatan kadar OPR. Kesimpulannya, peningkatan OPR ini akan memberikan sedikit kos dalam kalangan peminjam manakala lebihan pulangan dapat dinikmati dikalangan pendeposit.
Impak kepada ekonomi negara pula dijangka dapat menambah nilai mata wang ringgit kerana lebih banyak mata wang asing dijangka masuk ke bank-bank tempatan kerana pelabur akan mendapat pulangan lebih tinggi sekali gus mengukuhkan nilai ringgit.
Selain itu, langkah ini dapat melandaikan kadar inflasi negara bila mana sebelum ini dengan kadar OPR yang rendah telah menyebabkan inflasi menjadi tinggi kerana semua orang mampu berbelanja.
Walaupun harga barang naik tetapi disebabkan OPR rendah, rakyat masih boleh membeli. Inilah yang dinamakan inflasi. Salah satu cara untuk mengawal inflasi adalah dengan menaikkan OPR. Jadi BNM telah melakukan langkah yang sewajarnya supaya negara tidak terjerumus ke dalam kancah hiperinflasi.
Sedikit nasihat kepada golongan yang terkesan terutamanya individu yang mempunyai pinjaman dengan bank, sila buat semakan semula dengan bank bagi mendapatkan kadar bayaran baharu yang dikenakan.
Jika merasa terbeban, individu ini boleh memohon bagi penstrukturan semulan pinjaman ataupun boleh mendapat khidmat nasihat terhadap agensi kewangan yang dilantik yang seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan sebagainya.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Felo Institut Kepimpinan dan Pembangunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

