PENYANYI terkenal Khai Bahar melahirkan rasa terkilan apabila netizen sering mengaitkannya dengan rakan penyanyi wanita yang berduet dirinya.
Menurut Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Bin Baharuddin dia bersama rakan duet hanya atas dasar kerja selain ingin membina hubungan baik supaya lagu yang dinyanyikan mereka sampai kepada peminat.
“Yang tak seronok apabila ada pihak cuba satukan kami. Perkara ini buatkan kami jadi tak selesa. Kami mahu bekerja bukan untuk bercinta.
“Jadi apabila timbul isu sebegitu. Saya risau sebab saya nak bekerja dengan ramai lagi penyanyi di luar sana. Nanti orang takut nak bekerja dengan Khai Bahar sebab risau dikatikan dengan saya.
“Saya rapat dengan rakan duet demi untuk mendapatkan keserasian. Itu adalah kerja saya. Bila sudah serasi barulah penonton dan pendengar gembira melihat hasil kerja kami itu ‘menjadi’,” katanya kepada URTV.
Khai turut mengulas reaksi peribadinya apabila mendapat tahu bakal digandingkan bersama penyanyi muda, Lia Aziz dalam lagu barunya yang berjudul Kaulah Syurga yang juga lagu tema (OST) drama 7 Hari Mencintaiku 3 di TV3.
“Saya kenal Lia Aziz sebab pernah membuat ‘cover’ lagu dia yang berjudul Kucu Kuca. Apabila mendapat tahu akan bergandingan dengan Lia, saya sangat selesa sebab dalam masa sama dia banyak mengajar saya.
“Dia ada latar belakang dan belajar muzik, macam saya pula ilmu tentang muzik kosong dan mengharapkan bakat semata-mata.
“Lia lebih banyak tahu tentang muzik berbanding saya. Saya anggap ini adalah peluang untuk timba ilmu,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi lagu Luluh itu juga turut gembira dengan peminat yang sentiasa menyokong hasil titik peluhnya dalam karier nyanyian dan lakonan
Khai ditemui semasa sesi pelancaran lagu Kaulah Syurga dan Selamat Tinggal Cinta yang turut dijadikan OST drama Jangan Menangis Cinta di Astro Ria bersama dua lagi penyanyi Lia Aziz serta Syarfa Adriana di Rusa Marketing Sdn. Bhd, Puchong, semalam.
Penyanyi berusia 28 tahun itu turut memberitahu dia kini sedang giat menulis lagu ciptaan sendiri dan berhasrat untuk memberi kepada penyanyi terkenal tanah air.
“Sekarang saya masih mencari ilham untuk menulis lagu. Banyak lagu yang saya buat tapi tak keluarkan sebab apabila dengar semula seakan-akan lagu orang lain pula. Kemana-mana saya akan bawa gitar dan cuba tulis lagu.
“Saya berhajat sangat untuk membuat lagu kepada penyanyi yang mempunyai nama dalam industri,” katanya lagi.
Untuk rekod, di samping sibuk dengan bidang nyanyian, Khai turut berkecimpung dalam dunia lakonan apabila pernah memegang watak utama dalam tiga buah drama yang bertajuk Satukan Rasa, Kisah Cinta Rumi dan Shakira.

