KONSERT Cinta Nostalgia bersama Krisdayanti yang sepatutnya berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad ini ditukar ke lokasi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pertukaran lokasi itu dilakukan demi menjamin keselesaan maksimum kepada penonton.
“Selain itu, pihak kami mahu memberikan kemudahan terbaik serta menyediakan suasana konsert yang lebih eksklusif dan imersif buat semua peminat yang kami hargai,” tulis kenyataan rasmi yang diedarkan kepada pihak media.

Konsert yang dinanti-nantikan ini bakal menyaksikan kemunculan semula Primadona Indonesia, Kris Dayanti, ke pentas Malaysia selepas kali terakhir menggegarkan hati peminat menerusi Konsert Romansa Kris Dayanti pada tahun 2017.
Diva tersohor ini bakal menghidupkan pentas dengan vokal lantangnya yang memukau, diiringi susunan muzik orkestra yang megah dan eksklusif, di bawah arahan Pengarah Muzik tersohor, Mr. Erwin Gutawa.
Lebih istimewa, dua bintang hebat tanah air iaitu Mimi Fly dan Khai Bahar akan turut menyerikan pentas sebagai penyanyi undangan khas.

Konsert Cinta Nostalgia bersama Kris Dayanti itu bakal menghadirkan malam penuh warna, emosi dan nostalgia, sekali gus menyatukan peminat dari pelbagai generasi dalam satu momen yang tidak akan dilupakan.
?️ Tiket masih boleh didapati melalui UberTickets di pautan rasmi:
? https://cintanostalgia.ubertickets.asia

Para peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi memastikan tempat dalam malam yang menjanjikan keajaiban muzik dan kenangan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

