Ziana Zain bersama Anuar Zain bakal mengadakan Konsert Live in Kuala Lumpur ogos nanti ketika mengadakan sidang media di sebuah Hotel di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENYANYI tersohor tanah air, Anuar Zain menyatakan bahawa dia bersama kakaknya yang juga penyanyi, Ziana Zain sudah pun berbincang dan menerima tawaran untuk membuat single bersama sebagai kenang-kenangan.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa menolak tawaran daripada beberapa pihak disebabkan lagu yang ditawarkan kepada mereka tidak bersesuaian dengan karakter dan vokal.

Menurut Anuar atau Shahrul Anuar Zain, 52, dia bersama kakaknya memiliki karakter penyanyi yang berbeza dan mereka sehingga kini sukar untuk mencari melodi yang sesuai untuk bergandingan bersama.

“Terus terang, kami sudah pun berbincang untuk membuat sekurang-kurangnya satu single bersama tapi kami tak uar-uarkan kerana ia tidak bersesuaian.

“Ada beberapa pihak yang menawarkan lagu untuk kami berduet sebagai single kenang-kenangan. Tapi kami terpaksa tolak kerana tidak bersesuaian dengan karakter dan vokal kami.

“Kami berdua ni merupakan dua penyanyi yang sangat berbeza dari segi nyanyian dan karakter. Perbezaan kami ini dah macam utara dan selatan.

“Jadi sampai sekarang kami sukar untuk dapatkan satu kata putus dan mencari melodi yang bersesuaian dengan kami berdua,” katanya kepada URTV.

Anuar ditemui pada sidang media konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur, semalam.

Ziana Zain bersama Anuar Zain bakal mengadakan Konsert Live in Kuala Lumpur pada Ogos nanti ketika mengadakan sidang media di sebuah Hotel di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Tambah Anuar lagi, dia tidak mahu merakamkan single baharu bersama Ziana atas dasar permintaan peminat sahaja, malah dia meminta agar peminat untuk sentiasa berdoa agar mereka menemui melodi yang bersesuaian untuk berduet bersama.

“Kami memang nak merakamkan single tapi pada masa yang sama ingin jadikan ia sebagai sesuatu yang akan diingati oleh peminat. Bukan kerana peminat mahukan gandingan kami dan membuat kami terburu-buru untuk hasilkan karya baharu.

“Jadi, doalah sentiasa agar kami dapat mencipta sekurang-kurangnya satu lagu sebagai kenangan.

“Mudah-mudahan kami jumpa lagu tersebut,” tambah pelantun Sedetik Lebih itu.

Konsert Anuar bersama Ziana Zain akan berlangsung pada 6 Ogos hadapan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Setelah bertahun menanti, konsert yang akan berlangsung selama 90 minit ini akan menggandingkan dua beradik itu di atas pentas yang sama.

Anuar Zain dan Ziana Zain tak sabar berkongsi pentas selepas 11 tahun

Bercerita mengenai konsert yang bakal berlangsung, Anuar menjanjikan elemen kejutan kepada mereka yang menonton.

“Konsert ini bertujuan untuk memberikan nostalgia kepada peminat-peminat yang mengikuti kami.

“Sebelum ini, memang ada pihak yang menawarkan kami untuk melakukan konsert bersama tapi tak kesampaian.

“Perkara tersebut berlaku bukan kami yang rancang. Semua ini atas perancangan Allah. Orang kata rezeki.

“Selepas 11 tahun, Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat berkongsi pentas bersama Kak Zi (Ziana). Insyaallah, inilah masa yang sesuai. Akan ada plot twist dan kejutan kepada mereka yang menonton konsert kami nanti,” jelasnya.

Anuar Zain dan Ziana Zain janji kejutan istimewa buat peminat yang hadir menonton konsert mereka

Tiket Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022 dijual pada harga bermula RM288, RM588, RM788, RM988 sehingga RM1188.

Walau bagaimanapun, tiket berharga RM288 dan RM1188 (VIP) sudah habis terjual.

Tiket tersebut boleh dibeli secara dalam talian di www.excitix.com.my.