amalan mandi bunga
Sekadar gambar hiasan

Bagi mendapatkan seri wajah yang maksimum kesannya, biasanya masyarakat kita pada hari ini suka mendapatkan khidmat perubatan tradisional untuk mendapatkan rawatan turun temurun, iaitu mandi bunga. Amalan mandi bunga ini juga sangat popular untuk anak dara yang ingin mendirikan rumahtangga, supaya kelihatan menarik pada hari yang bahagia.

Kebiasaannya, mereka akan ke pusat rawatan tradisional, dan menjalankan rawatan mandi bunga selama beberapa jam dengan cara dimandikan oleh perawat tersebut, ianya diselang seli dengan bacaan tertentu, dan beberapa jenis bunga yang dicampurkan.

Menurut Dr. Mohd Zohdi, Mohd Amin, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) amalan mandi bunga ini sebenarnya adalah khurafat yang diamalkan dalam perubatan tradisional untuk membuang sial, menghindari bala penyakit, dan juga membawa tuah.

Bukan sahaja menjadi amalan untuk anak dara yang ingin mendirikan rumahtangga, tetapi juga diamalkan terhadap para wanita yang belum lagi bertemu jodoh meskipun sudah lanjut usia.

Nabi s.a.w pernah bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari,

“Tiada penyakit berjangkit dengan sendirinya tanpa takdir Allah, tiada sial pada burung (melalui burung berterbangan kiri atau ke kanan), tiada sial pada burung hantu (tiada roh orang mati dibunuh yang menuntut bela) dan tiada sial pada bulan Safar.”

Menurut pandangan Dr. Yusuf al-Qardawi, kepercayaan sial ini termasuklah menganggap sial pada haiwan, tempat dan masa. Sesiapa yang mempercayai adanya sial, maka dia telah berlepas diri (tidak bertawakkal) pada Allah.”

Oleh itu, nasihat Mohd Zohdi kepada pengamal amalan ini, ianya patut dielakkan kerana kita tidak tahu akan kaedah perlaksanaannya serta kesannya nanti dalam kehidupan. Niat yang baik pada mulanya membawa padah apabila terjebak dengan ilmu sihir dan khurafat.

Tiada lagi malaikat menjaga

Setelah melakukan pelbagai amalan untuk menaikkan seri wajah, pasti kesannya akan terlihat dengan begitu cepat sekali. Jika bertujuan mencari jodoh, pasti akan bertemu dengan jejaka idaman dalam masa terdekat, kerana kesan dari amalan seri muka yang dilakukan.

Namun, kesannya yang lebih besar tidak boleh dipandang enteng. Jelas Mohd Zohdi, kebiasaannya orang yang mengamalkan amalan khurafat ini akan mudah terkena ilmu sihir atau gangguan syaitan dari orang lain atau diri sendiri. Ia adalah kesan dari bersahabat dengan syaitan.

Tegasnya lagi, pada tubuh badan setiap manusia, selain terdapat dua malaikat di kiri kanan yang mencatit amalan baik dan buruk, terdapat juga dua malaikat lain di depan dan belakang yang ditugaskan oleh Allah sebagai pelindung bagi setiap Muslim. Ia sebagaimana firman Allah,

“Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari. Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah”. (Ar Ra’du: 10-11).

Hanya kerana mandi bunga tiada malaikat yang melindunginya

Malah dari Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

“Telah menjelaskan bahawa yang selalu mengikuti anak Adam secara bergiliran adalah malaikat-malaikat untuk menjaga manusia dari depan belakang. Apabila bertepatan dengan takdir Allah yang telah ditetapkan kepadanya dari kejadian musibah dan lain-lain, maka malaikat tersebut melepas diri.”

Allah turut menyebut berkaitan malaikat yang menjaga anak Adam secara bergilir itu dalam surah ar-Ra’du: 10  

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah.”

Menurut tafsir Ibnu Kathir, bagi setiap hamba Allah ada malaikat yang bergantian untuk menjaganya pada siang dan malam hari, menjaganya dari segala keburukan dan musibah, sebagaimana malaikat yang lain juga bergantian pada siang dan malam untuk menulis perbuatan hamba tersebut, sama ada perbuatan baik atau yang buruk.

Artikel berkaitan: petua menaikkan seri muka dalam Islam cukup hanya lakukan amalan ini

Dua malaikat di kiri dan kanan yang menulis segala perbuatan kita, sebelah kanan bertugas untuk menulis kebaikan, manakala sebelah kiri pula untuk menulis keburukannya.

Dua malaikat yang lain bertugas untuk menjaganya, satu malaikat berada di depannya dan yang lain berada di belakangnya. Jadi, seorang hamba selalu di sisinya empat malaikat siang, dan empat malaikat malam.

Oleh hal demikian, Mohd Zohdi menerangkan, jika seseorang hamba itu mengamalkan sihir dan menpercayai perkara lain selain Allah, maka malaikat yang menjaganya itu akan ditarik oleh Allah.

Disebabkan itu mereka mudah terpengaruh dengan perkara buruk, atau terkena sihir dari orang lain. Malah berlaku bermacam kekacauan dalam keluarga seperti suami bersikap panas baran, anak degil, isteri curang dan sebagainya sehingga meruntuhkan sesebuah kekeluargaan.

“Itu adalah sedikit dari sebab musabab berlakunya pelbagai kekacauan dalam keluarga disebabkan oleh sihir dan berdamping dengan jin serta iblis. Bagi mensejahterakan keluarga dan diri sendiri dunia akhirat, lebih baik elakkan perbuatan sebegini dan yakinilah dengan kekuasaan Allah dalam segenap perkara.” Wallahu a’lam

_____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare