DCCK : Perkuatkuasa Mahkamah Syariah, hukum bekas suami culas bayar nafkah

Dari Penulis

KISAH yang dipaparkan dalam Di Celah Celah Kehidupan minggu lalu berjudul `Tuntutan Nafkah: Tuanku Sultan Rayuan Dan Doa dari Ibu Ibu Tunggal’ mendapat sambutan ribuan pembaca dengan menceritakan pelbagai pengalaman pahit mereka sendiri di samping mengharapkan akan ada perubahan dalam Mahkamah Syariah kepada kebaikan, supaya kes tuntutan nafkah anak-anak tidak lagi dipanggang bertahun lamanya.    

Kata mereka, berapa lama lagi harus di tunggu untuk menuntut nafkah, apakah tempoh lapan dan 10 tahun tidak cukup lama? Janganlah asyik fikir bekas suami dengan keluarga baru mereka, tapi bagaimana pula nasib anak-anak yang ditinggalkan. Apakah anak-anak ini sudah tidak perlu makan pakai, tak perlu bersekolah atau meletakkan tanggungjawab menyara anak kepada bekas isteri. Apakah itu adil? Kata Zu, salah seorang pembaca.

“Kenapa mahkamah mahu melepaskan tanggungjawab ini kepada ibu tunggal menyara anak-anak sendirian? Bukankah tanggungjawab menyara anak-anak merupakan tugas seorang ayah. Dan jika dia tidak mampu, menjadi tanggungjawab keluarga si ayah tadi, sama ada ayahnya, atau adik beradik lelakinya. Bukankah itu sudah termaktub dalam hukum agama Islam. 

“Tetapi peliknya, jika si ayah itu mati dan meninggalkan harta, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anak-anaknya diturunkan kepada salah seorang sebelah bapanya, bukannya kepada si ibu kepada anak-anak tadi.

“Sebaliknya orang yang berhak ke atas harta peninggalan si mati, pertama adalah datuk lelaki sebelah bapa, kedua, wasi yang dilantik menurut wasiat bapa, ketiga, wasi kepada wasi bapa, keempat, wasi datuk sebelah bapa dan kelima wasi kepada wasi datuk di sebelah bapa dengan syarat dia adalah seorang Islam. 

“Jelas di sini langsung tidak disebut ibu sebagai penjaga harta anak-anaknya sendiri. Semua terpulang kepada keluarga sebelah si ayah atau keluarga si mati. Ini mengikut Enakmen Undang Undang Keluarga Islam negeri Selangor 2003. Bahagian V11-Penjagaan. Penjagaan ke atas orang dan harta. 

“Saya bukanlah nak mengutuk kerana itu termaktub dalam undang-undang. Memang nampak cantik, bertambah molek jika si ayah yang mati meninggalkan harta. Apa kata jika si mati langsung tidak ada harta ditinggalkan, apakah keluarganya mahu mengambil alih tanggungjawab menyara dan membesarkan anak-anak si mati? Saja tanya. Entah-entah keluarga dan wasi terus hilang tak dapat dikesan. 

“Tetapi jika si mati tinggalkan harta, adik beradik yang jauh tiba-tiba muncul mengaku boleh bertanggungjawab, maka terketepilah dan terpinggir ibu tadi daripada menjaga atau berhak ke atas harta anak-anaknya. Terutama jika si anak belum cukup umur 18 tahun,’’ katanya lagi. 

Begitulah nasib ibu tunggal jika suami yang mati berduit dan berharta, maka hartanya kembali kepada keluarga suaminya, bukan kepada isterinya. Tetapi jika miskin, jangankan kata keluarga suami mahu membantu, bertanya khabar pun tidak, sebab takut terpaksa bertanggungjawab beri nafkah untuk anak-anak yatim yang ditinggalkan. 

Sementara itu, seorang pembaca dari Sarawak turut memberi pandangan, beliau melaporkan bahawa Biro Sokongan Keluarga (BSK) Sarawak baru-baru ini telah berjaya melaksanakan Perintah Pengkomitan yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Sarawak di Mukah dalam kes Penghakiman. 

Katanya, Perintah Pengkomitan itu dikeluarkan disebabkan kegagalan penghutang penghakiman, iaitu si bapa / defendan daripada membayar tunggakan nafkah ke atas tiga orang anaknya yang berjumlah sebanyak RM32,060.00, iaitu sepertimana yang telah diperintahkan dalam kes Saman Penghutang Penghakiman dari tarikh 27 April 2017 lalu. 

Katanya lagi, kerana kegagalan si penghutang membayar hutangnya, maka penghutang penghakiman telah dihukum penjara selama 30 hari  dibawah Seksyen 181 (1) Ordinan Tatacara Mal Syariah, 2001 bermula hari ini iaitu 24 Mei lalu. 

Ini satu kejayaan kepada ibu-ibu tunggal yang menuntut nafkah, tetapi cuba pembaca bayangkan kes tuntutan nafkah bermula April 2017 hingga tahun 2022 baru dapat diselesaikan, memakan masa selama lima tahun untuk si ibu tadi turun naik mahkamah untuk menuntut keadilan. 

Jika si ibu tadi tidak sabar atau tertangguh oleh masalah lain, maka lepaslah si ayah tadi daripada membayar nafkah, seperti yang banyak dilakukan oleh bekas suami yang enggan membayar nafkah. Maka terseksalah si ibu terpaksa berhempas pulas menyara anak-anaknya seorang diri. Apakah ini adil? 

Kepada saya dan beberapa orang teman yang senasib kerana bekas suami gagal membayar hutang nafkah yang sudah meningkat terlalu banyak, berita seperti ini amat baik untuk dijadikan pengajaran serta tauladan khususnya kaum lelaki, bahawa tanggungjawab dalam melaksanakan perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah hendaklah dipatuhi. 

Kejayaan perjuangan wanita Sarawak ini patut jadi pembakar semangat untuk terus berjuang. Oleh itu, saya menyeru ibu tunggal seluruh Malaysia yang kes tuntutan nafkah mereka masih terpanggang di mahkamah syariah supaya jangan putus asa menuntut hak. 

Cuma satu harapan kami supaya mahkamah syariah lebih tegas dalam melaksanakan titah perintah yang mereka keluarkan supaya tidak mudah dipermainkan oleh bekas bekas suami yang ingkar dan enggan membayar nafkah. 

Sementara itu, BSK Sarawak pada masa yang sama juga berjaya merekodkan penyelesaian kes tertunggak nafkah anak yang berjumlah RM22,800 melalui saman Penghutang Penghakiman. 

Penyelesaian tunggakan telah diperintahkan dengan bayaran ansuran sebanyak RM300 sebulan hingga selesai. Manakala tunggakan nafkah tahunan persekolahan dan Hari Raya berjumlah RM1,000 perlu dibayar sebelum berakhir bulan Jun 2022. Bayaran perlu dibuat secara pindaan wang terus ke bank. 

Alhamdulillah, nampaknya satu lagi kes berjaya diselesaikan menjelang akhir Syawal. Semoga penyelesaian ini dapat memberikan kegembiraan kepada pelanggan BSK dan ibu tunggal di seluruh Negara.

Namun seorang pembaca, Puan Zureen pula melahirkan kekeliruannya tentang perintah bayaran sebanyak RM300 sebulan yang diperintahkan kepada si penghutang untuk menyelesaikan hutang nafkah tertunggak sebanyak RM22,800. 

“Cuba bayangkan kalau bayaran cuma RM300 sebulan, ia akan mengambil masa selama 76 bulan bersamaan lebih kurang enam tahun untuk si ayah selesaikan hutang nafkahnya. Persoalannya mengapa mahkamah tetapkan cuma RM300 sebulan, adakah jumlah itu mencukupi. Sedangkan anak setahun semakin membesar dan memerlukan lebih banyak perbelanjaan.   

“Sudahlah untuk dapatkan penyelesaian perintah tunggakan nafkah anak, si ibu terpaksa melalui pelbagai prosiding mahkamah, banyak masa dan wang terbuang, anak yang kecil dah membesar. Si anak pasti sudah kehilangan ‘quality time’  bersama ibunya, lebih menyedihkan nasib anak mangsa cerai ini langsung tidak dinilai oleh mahkamah,’’ ulasnya lagi. 

“Mahkamah patut beri penambahan peratusan atas nilai nafkah tertunggak tersebut (contoh beri tambahan 10 peratus lagi atas nilai tunggakan nafkah) atas harga kesengsaraan si ibu dan si anak atas kecuaian si bapa. 

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ini, mana mungkin ansuran RM300 sebulan itu dapat membantu secara berkesan pada si ibu khususnya untuk anak-anak meneruskan kehidupan dan untuk mendapatkan  penbelajaran dengan berkualiti,” katanya lagi. 

Sementara itu, Puan Fida pula melahirkan kekecewaannya tentang kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bulan Mac lalu yang mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Akta Pembiayaan Kewangan membolehkan bank membekukan akaun bank suami yang enggan membayar nafkah kepada bekas isteri dan nafkah tertunggak atas arahan mahkamah syariah. 

“Tetapi sedihnya sehingga kini kami langsung tidak mendengar berita apa jadi dengan saranan PM itu, adakah diikuti atau sebaliknya, sebab sehingga kini kami tak dengar cerita langsung. 

“Sebab saya menghadapi masalah yang sama.  Nafkah yang dituntut sudah meningkat lebih RM20,000 tetapi bekas suami masih mengelak tidak mahu bayar dan mahkamah syariah terus terusan mengikut kehendak bekas suami yang sengaja melengahkan perbicaraan dengan pelbagai alasan tak masuk akal. 

“Pengumuman PM memang disambut baik oleh ibu tunggal, tetapi bila hendak dilaksanakan pembekuan akaun bank bekas suami. Jika undang-undang ini disegerakan sudah pasti ibu tunggal tidak akan menghadapi masalah bekas suami yang dengan sengaja melengah-lengahkan pembayaran nafkah. 

“Kami yakin dengan ketegasan PM dan disokong pula oleh surat pekeliling Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, bertarikh 5 April 2022, yang berbunyi antaranya ‘<enjadi tanggungjawab Ketua Jabatan melaksanakan perintah mahkamah syariah dalam kes tuntutan nafkah’.

“Sementara itu pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan kepada bekas isteri yang membuat tuntutan, kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah. 

“Keputusan ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam memelihara kebajikan wanita dan anak-anak yang terkesan dengan masalah perceraian, khususnya dalam tuntutan bayaran nafkah. 

“Jika terdapat bekas suami masih enggan membayar nafkah, maka tindakan seterusnya hendaklah mempenjarakan bekas suami. Supaya beliau lebih bertanggungjawab membayar nafkah. 

“Masalahnya hukuman mempenjarakan bekas suami itu ada, tetapi ia tidak dilaksanakan membuatkan mereka tidak patuh kepada perintah mahkamah syariah,’’ tambahnya. 

Sebenarnya semua peraturan itu boleh dilaksanakan dengan segera jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam agama Islam menjalankan tugasnya dengan membawa pindaan undang-undang tersebut ke Parlimen untuk dijadikan undang-undang seberapa segera. 

Saya masih ingat di mana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zain telah membawa satu Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) pindaan yang dibawa ke Parlimen 22 September 2005 bagi membolehkan isteri pertama menuntut harta sepencarian setelah mengetahui suami mereka berpoligami. 

Kata Dr Abdullah Md Zain, undang-undang ini memberi kuasa Mahkamah Syariah meluluskan permohonan harta sepencarian isteri pertama walaupun dia tidak diceraikan. Di samping itu, suami mohon berpoligami dikehendaki membawa isteri, bakal isteri untuk memberi keterangan di mahkamah syariah. 

“Langkah ini bertujuan mengetahui kemampuan suami dalam menguruskan kehidupan keluarga dari segi nafkah. Di samping bakal isteri kedua akan diberi penjelasan mengenai hak-haknya sebagai isteri kedua dan lain-lain,’’ kata beliau lagi. 

Jika Datuk Dr. Abdullah Md Zain yang ketika itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri boleh membawa isu tuntutan harta isteri pertama terhadap suami yang berpoligami, kira-kira 17 tahun lalu, mengapa kes hendak membekukan akaun bank bekas suami yang tidak membayar nafkah anak anak dan kes nafkah tertunggak, tidak dibawa ke parlimen seberapa segera. 

Jika sudah ada undang-undang yang kuat, sudah tentu masalah tunggakan nafkah dan kelewatan beri nafkah boleh dikurangkan. Dan kezaliman bekas suami yang enggan, culas, mengelak dan dengan sengaja tidak mahu membayar nafkah anak-anak boleh di atasi, sebab mereka lebih takut apabila akaun bank mereka ditutup. 

Dalam pada itu, ada juga bertanya bagaimana dengan nasib ibu tunggal yang membawa kes mereka ke Mahkamah Syariah Negeri, sebab undang-undang mahkamah  yang ada sekarang banyak tertumpu kepada Rang Undang Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan sahaja. 

Untuk menjawab soalan tersebut, harapan kita supaya Mahkamah Syariah Negeri lain juga dapat melakukan yang terbaik untuk rakyat mereka, kerana masalah wanita tetap sama. 

Rang undang undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) memang digunakan di Wilayah Persekutuan tetapi juga digunapakai di Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Melaka.       


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Patutlah Sentiasa Berseri! Rahsia ‘DNA Ikan Salmon’ Scha Alyahya Akhirnya Terbongkar

SIAPA sahaja yang tidak terpesona melihat kejelitaan rupa paras dan sosok tubuh pelakon serta ikon fesyen tersohor, Scha Alyahya?  Walaupun...

More Articles Like This