PENYANYI kumpulan K-Pop wanita popular Weeekly, Shin Ji-yoon menarik diri daripada terus menganggotai kumpulan tersebut disebabkan masalah kesihatan mental.

Terdahulu, Ji-yoon telah dua kali menghilangkan diri oleh kerana masalah kesihatan yang berulang kali, bermula pada bulan Ogos tahun lalu.

Ji-yoon kemudian menyambung aktivitinya bersama Weeekly pada bulan Disember tahun itu, namun penyanyi berusia 20 tahun itu menghentikan persembahannya pada Februari lalu iaitu sebelum kemunculan semula Weeekly dengan album terbaru mereka berjudul “Play Game: AWAKE”.

Memetik daripada sumber antarabangsa Soompi, agensi kepada kumpulan itu, IST Entertainment memberitahu bahawa Ji-yoon akan berhenti melakukan aktiviti bersama Weeekly untuk memberi tumpuan kepada kesihatan mentalnya.

“Hello. Ini adalah IST Entertainment. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Dailee (peminat Weeekly) atas cinta yang anda berikan kepada Weeekly dan kami menyampaikan pengumuman ini dengan berat hati.

“Setelah mengalami masalah yang tidak dapat dielakkan, Ji-yoon daripada Weeekly tidak dapat melakukan aktiviti bersama selama dua kali iaitu pada musim panas lalu dan musim ini untuk fokus sepenuhnya pada rawatan dan pemulihannya.

“Setelah berbincang, kami telah mencapai keputusan bahawa Ji-yoon perlu berada di lingkungan di mana dia harus memberi sepenuh tumpuan untuk menerima rawatan,” kata agensi tersebut dalam sebuah kenyataan.

Tambah agensi itu lagi, kumpulan pelantun lagu Holiday Party ini akan bergerak sebagai kumpulan dengan enam orang ahli setelah pemergian Ji-yoon bermula hari ini.

Untuk rekod, album pertama yang dihasilkan Weeekly adalah pada 30 Jun 2020, berjudul We Are.

Kumpulan itu terkenal dengan lagu After School yang telah dikeluarkan pada 17 Mac tahun lalu di Youtube, di mana muzik video itu meraih sebanyak 130 juta jumlah tontonan.