PELAKON Azhar Sulaiman, 50, mengakui bahawa kini dia hanya mampu berdoa agar anaknya berubah menjadi lebih baik. 

Pelakon drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu turut menyatakan bahawa dia sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dengan menegur kesilapan anak-anaknya susulan video seksi puterinya yang tular di media sosial. 

Pada 13 Mei lalu, anak kepada pelakon berkenaan, iaitu Kasih Iris Leona memuat naik video di Tiktok yang menampilkan dirinya menari bersama seorang rakan perempuan dengan memakai gaun ketat dan terdedah pada bahagian dada. 

Susulan video itu, netizen menegur gadis berumur 20 tahun itu supaya menutup aurat dan juga berharap agar dirinya akan berubah ke arah yang lebih baik.

“Moga pengakhiran yang baik buat awak dik,” komen salah seorang pengguna Tiktok. 

“Astaghfirullah, jagalah pemakaian,” tulis salah seorang netizen pada ruangan komen video tersebut.

“Harap awak akan berubah (Hope she’ll change),” tulis @exgfsasuke pada ruangan komen video tersebut.

Walau bagaimanapun, Azhar berkata bahawa anak-anaknya kini sudah meningkat dewasa dan tidak lagi sesuai untuk dirotan, malah perlu ditegur secara berhemah. 

“Saya macam Kaza dan Normah Damanhuri… kami adalah ibu bapa, anak-anak kita bukan kecil lagi. Macam anak mereka pun dah besar juga. Sebagai ibu dan bapa, sudah tentu kita beri teguran.

“Tetapi apa sahaja yang kita tegur tu, bukan mudah… kita mengharapkan anak-anak akan fikir lebih jauh mengenai impak terhadap keseluruhan bukan hanya pada diri mereka tapi keluarga dan ibu bapa.

“Sebagai bapa, saya ambil tanggungjawab untuk menegur apa yang tidak boleh dilakukan. Tapi kalau dia masih lakukan, saya hanya berdoa semoga dia cepat berubah.

“Kita tak boleh merotan atau menjerit kepada anak-anak sekarang… apatah lagi mereka sudah besar. Jadi kita doakan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya memetik laporan Mstar. 

Untuk rekod, selain Kasih Iris Leona, Azhar dan isterinya iaitu Chempaka Emalin Pahamin mempunyai dua orang anak iaitu anak sulungnya, Kasih Leia Ixora dan kembar Leona iaitu Andika Rees Pahamin.