BARISAN Nasional (BN) perlu ditampilkan semula sebagai ‘sebuah idea’ bukan sekadar sebuah perikatan politik bagi menarik semula sokongan masyarakat.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana BN mesti berevolusi apatah lagi institusi politik lumrahnya pegun sedangkan idea sentiasa bertumbuh, bercambah dan membiak.
Menurut beliau, BN mesti ditampilkan sebagai sebuah idea kesepakatan, kesatuan dalam kepelbagaian dan berbilang budaya, kemajuan serta kepelbagaian.
Mohamad atau Tok Mat menegaskan, BN mesti disinonimkan sebagai sebuah pemikiran kesepakatan dengan budaya dan pendekatan politik yang progresif.
“Bila nanti mereka sebut BN, mereka terbayangkan muhibah, terbit dalam imaginasi mereka… kesepakatan, keraian kepelbagaian dan pendekatan politik yang sederhana serta maju.
“Memang pun BN itu sebuah idea. Ia lahir sebagai solusi politik dampak peristiwa 13 Mei (1969).
“BN terbit sebagai sebuah idea untuk menguruskan negara pasca konflik. Ia tidak ditubuhkan hanya kerana sekadar mengejar kuasa, dibuai dengan kewangan yang ‘maha berkuasa’ mahu pun sekadar membentuk kerajaan.
“BN lahir untuk memulihkan negara yang parah dan terjejas akibat konflik perkauman,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Menang tipis, sipi-sipi bukan pilihan BN – Tok Mat
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen BN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun BN Ke-48, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, bagi kurun ke-21 ini, idea BN untuk Malaysia adalah tentang kestabilan, kemakmuran dan keadilan.
Katanya, semua pihak perlu menggembleng segenap kudrat untuk menyingkirkan persepsi kuasa, korupsi dan kebejatan moral sebagai sesuatu yang sinonim dengan BN.
Malah, Mohamad mencadangkan supaya BN tampil dengan imej yang revolusional iaitu cool tetapi serius dan meyakinkan.
“Kita mesti sebarkan secara luas, agresif dan menyeluruh bahawa BN ini bukan sekadar persekutuan politik tetapi sebuah idea yang kalis zaman tentang sebuah kesepakatan politik untuk sebuah negara kesepakatan.
“Semua ini, saya pulangkan kepada segenap kepimpinan BN untuk merenung, memikir dan membahaskannya.
“Yang boleh menerbitkan rasa percaya dalam kalangan rakyat dan boleh menyebabkan rakyat memberikan BN satu peluang membuktikan bahawa kita benar-benar sebuah idea yang revolusional,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

