USAHAWAN kontroversi, Liana Rosli atau Kak KM menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh dia sengaja menayang banglo bernilai lebih RM5 juta baharu dibeli dengan niat mahu menunjuk-nunjuk.
Menurut anak kepada dramatis terkenal Normah Damanhuri itu, dia hanya mahu berkongsi kegembiraan kepada orang ramai yang tanpa usaha semua kemewahan yang dimiliki tidak akan datang bergolek.
“Banglo tersebut dibeli atas hasil kerja saya…takkan hasil kerja jiran pula (ketawa). Tanah rumah itu sangat besar, 10,000 kaki persegi.
“Kalau beli rumah baharu sekali pun, susah nak dapat keluasan yang besar macam tu. Rumah itu kediaman lama…boleh kalau nak duduk balik sebenarnya.
“Tapi saya kalau boleh mahu semua yang baharu. Jadi, saya rancang nak runtuhkan semua dan buat pengubah suaian yang baharu,” katanya kepada URTV.
Tambah Kak KM lagi, banglo mewah yang terletak di Ampang itu sebenarnya bukanlah berjumlah RM5 juta seperti yang dikongsikan sebelum ini.
Tanpa mendedahkan nilai sebenar kediaman ketujuhnya itu, jelas Kak KM dia tidak mahu ‘memanaskan’ lagi api kemarahan wargamaya yang tanpa henti melemparkan kata-kata negatif.
“Sebenarnya harga rumah tersebut lebih RM5 juta. Tak payahlah saya beritahu harga sebenar sebab sebelum ini baharu cakap nilai RM5 juta pun orang dah marah sangat.
“Dituduhnya kita ini nak menujuk-nunjuk di media sosial. Sedangkan kita tak bermaksud macam itu pun (berlagak).
“Kalau tak boleh tengok, tutuplah Instagram tu, betul tak?,” tegasnya.
Kak KM ditemui pada sidang media Minggu Usahawan Negara 2022, Festival Fesyen & Kecantikan dan Starvendors Kedah Raya Fest 2022 di Malaysia Grand Bazaar @ Lalaport, Bukit Bintang City Centre, semalam.
Mengidamkan rumah tersebut dilengkapi dengan surau, kata Kak KM dia menganggarkan tempoh setahun untuk ‘istana’ impiannya itu siap dibina.
“Keluarga saya besar, anak-anak pun dah bertambah. Jadi saya nak mereka ada bilik seorang satu…biar mereka selesa.
“Bilik karaoke memang dah ada tapi saya nak ‘renovate’ baharu juga. Bilik untuk mak dan mak mentua, bilik untuk saya tenang-tenangkan jiwa.
“Bilik tetamu lagi. Rumah itu juga nanti saya mahu lengkapkan dengan bilik surau supaya mudah untuk keluarga menunaikan solat. Keseluruhannya, akan ada sembilan bilik dan semua ruang itu akan dilengkapi dengan bilik air,” jelasnya lagi.
“Di kawasan kolam renang juga nanti akan ada bilik air supaya senang nak tukar baju selepas berenang. Alhamdulillah, rumah ini antara impian saya yang dah tercapai,” tuturnya.
Terdahulu, Kak KM ada berkongsi video di akaun Instagram miliknya yang teruja memegang kunci rumah banglo tersebut.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

