MENGANGGAP setiap rezeki yang datang kepadanya pasti akan terselit bahagian untuk keluarga, membuatkan kakak kepada personaliti media sosial dan usahawan Kak KM iaitu Rose Azlin Rosli tidak lokek berkongsi dengan insan tersayang.
Rose atau mesra disapa sebagai Kak Nona yang juga pengasas bersama syarikat pengurusan acara RAR Sky Sdn Bhd bersama suami, Iskandar Ali percaya dengan kebolehan serta kepakaran ahli keluarga.

“Saya dan suami akan fikirkan keluarga terlebih dahulu. Mereka nombor satu sebab kita berbahagi rezeki dengan mereka, terutamanya Kak KM. Kami bertahun-tahun bersama kejar impian dengan berniaga.
“Malah, kalau dalam mana-mana acara yang kami anjurkan, rasa tak berseri kalau tiada dia (Kak KM). Macam mana sekali pun, akan cuba untuk selitkan Kak KM. Kami lebih selesa bekerja dengan adik-beradik.
“Sebab kita sudah tahu apa kepakaran masing-masing. Misalnya kalau ada anak buah yang boleh buat fotografi, kita panggil dan tawarkan kerja kepadanya terlebih dahulu.
“Untuk jaga booth kedai pula, kita ada anak-anak yang akan tolong jaga, sepupu-sepapat atau anak buah. Kemudian, barulah kita tawarkan kepada orang luar,” katanya kepada URTV.

Biarpun berkemampuan dari segi wang ringgit, namun Kak Nona enggan menabur kemewahan dengan mudah kepada anak-anaknya termasuklah anak saudara yang masih muda.
“Kami nak ahli keluarga lain belajar dan tahu bukan mudah untuk cari duit. Kadangkala ada anak-anak orang senang ni, celik mata saja dah nampak duit depan mata.
“Mereka tak tahu bagaimana susah dan senangnya kita mencari rezeki. Jadinya, kena belajar dan bermula dari bawah. Mungkin orang nampak kita sudah okay, tapi ramai tak tahu fasa merangkak yang dilalui,” kongsinya.
Kak Nona berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Festival Kampung Tradisi di SUK Selangor, Shah Alam, baru-baru ini.

Sementara itu, Kak Nona tidak menolak kasih sayang antara adik-beradiknya bermula daripada ibu, pelakon Normah Damanhuri dan arwah bapanya.
“Sejak kecil mak dan arwah ayah besarkan kami penuh kasih sayang. Kami nampak mak selalu baring atas riba ayah.
“Malah mak sendiri tak pernah bercakap kasar dengan anak-anak. Kami sangat menghormati kedua orang tua kami dan saling berpelukan bila berjumpa.
“Sekarang ini, kami terapkan pula pada anak-anak agar hubungan adik-beradik tidak putus dan sentiasa menyayangi,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Festival Kampung Tradisi anjuran Adikara dan RAR Sky Sdn Bhd bakal dilangsungkan selama empat hari bermula 12 Disember ini di Dataran Pantai Morib, Selangor.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Yang Berhormat Datuk Rizam Ismail.
Objektif acara tersebut diadakan bagi menjadi platform masyarakat mengenali kekayaan budaya dan tradisi warisan Melayu.
“Festival ini bertujuan untuk memperkenalkan dan menghidupkan semula budaya tradisional yang sudah menjadi sebahagian daripada identiti negara.
“Pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan tradisi, permainan rakyat, makanan kampung dari perkampungan Mat Kilau, dan persembahan seni sepanjang festival ini.
“Ia bukan sekadar festival tetapi satu usaha untuk menghidupkan kembali identiti budaya yang mungkin semakin dilupakan,” katanya.
Selain para peniaga tempatan, kehadiran barisan artis yang turut sama berniaga pasti akan menambahkan kemeriahan apabila ada di antara mereka turut akan membuat persembahan.
Antara selebriti terlibat ialah Aan Ways, Azan Scan, Kak KM, Keena Mentor, Rina Eva, Jibam Ramlee, Elly Xceed, Syura Badron, Ahmad Yasin dan Kumpulan Kristal.
Kak KM juga akan sama-sama turun padang berniaga di samping ibunya, pelakon legenda, Normah Damanhuri yang bakal berniaga Nasi Lemak Mantan dan pelbagai jenis bubur manis.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

