PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan para pemain Harimau Malaya pada perlawanan menentang Bahrain malam ini.
Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata kalah menang itu adat pertandingan dan skuad kendalian Kim Pan Gon perlu terus berjuang untuk perlawanan seterusnya.
“Buat para pemain, ini bukan pengakhiran tetapi peluang untuk kita buat lebih baik selepas ini. Ayuh bangkit!” katanya yang turut meluangkan masa menonton perlawanan tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Terdahulu, skuad kebangsaan tewas tipis kepada Bahrain 1-2 pada aksi kedua Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023.
BERITA BERKAITAN Malaysia terpaksa akur tewas tipis 1-2 kepada Bahrain
Perdana Menteri tiba di gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu pada jam 8.45 malam dan disambut oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin serta kepimpinan tertinggi badan induk itu.
Turut berangkat menyaksikan perlawanan malam ini adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selain Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut hadir di stadium itu.
Kira-kira lebih 60,000 penyokong setia skuad kebangsaan membanjiri stadium termasuk Ultras Malaya yang merancakkan suasana menerusi paluan gendang sambil bersorak dan menyanyi.

