Kim Pan Gon pada sidang media pasukan di sebuah hotel di Subang hari ini sambil ditemani penyerang, Syafiq Ahmad. /Gambar FB BFF

JIKA hanya empat daripada enam pasukan di tempat kedua layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023, peluang Malaysia memang kelam setelah sekadar memperoleh tiga mata selepas dua perlawanan.

Namun, oleh kerana lima pasukan di tempat kedua daripada enam kumpulan yang beraksi layak, maka peluang Malaysia masih ada.

Syaratnya, Harimau Malaya perlu menang menentang Bangladesh esok, tak boleh seri apatah lagi jika tewas.

Kedua, untuk lebih cerah, Malaysia mesti menang dengan jaringan besar. Lima gol jika boleh.

Persoalannya bolehkah? Jika diukur pada ranking, Harimau Bengal berada pada kedudukan ke 188 berbanding Harimau Malaya, 154.

Namun, Bangladesh bukan hanya tahu main kriket. Mereka juga boleh bermain bola sepak dengan baik. Dan bola sepak adalah sukan kedua popular di negara itu.

Persamaan dari segi sejarah, Piala Asia 1980 adalah kali terakhir Bangladesh dan Malaysia sama-sama layak secara merit ke kejohanan tertinggi benua.

Dan pada perlawanan kedua kumpulan E Sabtu lalu, pemain bimbingan Javier Cabrera itu menunjukkan Bangladesh harus dihormati lawan.

Mereka bukan pasukan belasahan bahkan telah memaksa Turkmenistan yang berada di kedudukan 50 tangga di atas cemas sebelum memperoleh jaringan kemenangan.

Selain kesungguhan, pasukan Asia Selatan itu juga berbahaya menerusi larian pantas pemain di bahagian sayap.

Kekurangan ketara Bangladesh ialah ketajaman dan ketenangan untuk menterjemahkan peluang kepada gol.

Jika mereka sebuah negara bola sepak, pastinya situasi akan berbeza – hasil liga yang lebih baik, sokongan kewangan selain pendedahan lebih banyak perlawanan antarabangsa.

Sebelum tiba di Sepang, skuad Bangladesh mengikat Indonesia 0-0 dalam perlawanan persahabatan di Bandung 1 Jun lalu.

Bangladesh mengikat Indonesia dalam perlawanan persahabatan di Bandung 1 Jun lalu./Gambar FB BFF

Ini menunjukkan apa dikatakan Kim Pan Gon pada sidang media hari ini adalah tepat – jangan pandang rendah Bangladesh.

Harimau Malaya mesti membaham Bangladesh, lebih daripada apa yang dilakukan mereka ketika menentang Turkmenistan.

Baca: Sampai bila nak main Piala AFF, ini peluang terbaik Harimau Malaya

Bawa Malaysia ke Piala Asia akan jadi penghormatan terbesar, kata Pan Gon

Pan Gon mempunyai pilihan pemain, beliau sudah mencuba dua set kesebelasan utamanya. Mahu pakai Ariff Aiman atau Akhyar Rashid? Nak guna Sumareh atau Faisal Halim, begitu juga Nor Azam Azih atau Nazmi Faiz Mansor di bahagian perancang.

Selain Darren Lok, masih ada Syafiq Ahmad. Pemain JDT itu juga versatil, boleh bermain di belakang Darren kalau formasi memerlukan.

Cuma tiada siapa mahukan De Paula dalam kesebelasan utama. Cukuplah. Projek itu gagal. Melompat pun ala kadar – jauh beza daripada apa yang Syafiq boleh lakukan.

SKUAD Harimau Malaya terpaksa memilih laluan sukar untuk ke Piala Asia 2023 selepas tewas tipis 1-2 kepada Bahrain./Gambar BERNAMA.

Terakhir, padang dan pemain. Mencari lima gol sangat sukar jika bermain di padang sekolah selepas hujan.

Setakat semakan di laman web Meteorologi Malaysia, esok Kuala Lumpur diramal tiada hujan dari pagi sampai malam.

Kedudukan semasa pasukan di tempat kedua pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023. Lima daripada enam pasukan di tempat kedua layak ke Piala Asia 2023. Grafik FB Asean Football

Bagaimanapun hari ini hujan, jadi tak tahu lah ramalan itu menjadi realiti atau sebaliknya.

Yang sepatutnya tak terjejas dengan hujan ialah pemain ke-12. Ekor harimau harus memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setakat jam 3 petang tadi, sudah 21,000 tiket dijual untuk perlawanan esok.

Belum cukup tu. Ayuh rakyat Malaysia. Tak kan setakat hebat di media sosial.