PELAKON, Harris Annuar dan isterinya, Asha Merican selamat diijab kabulkan pada jam 4 petang semalam di Magica Hall.
Harris atau nama sebenarnya Mohammad Harris Shahrul Annuar memberitahu hubungan yang bertaut selama empat tahun itu akhirnya berjaya diikat dengan sekali lafaz.
“Alhamdulillah dengan sekali lafaz, saya sah bergelar suami kepada Asha. Sebenarnya kami sudah bercinta hampir empat tahun tapi memilih untuk merahsiakan hubungan ini.
“Sepanjang perkenalan kami kunci rapat mengenai status hubungan kepada orang luar. Hanya keluarga kedua belah pihak dan rakan-rakan rapat saja yang tahu,” ujarnya memetik Harian Metro.
Menurut bekas pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2017/18 itu, mereka tidak pernah diikat dengan pertunangan dan pernah berjumpa keluarga Asha atas tujuan merisik.
“Kami tidak pernah bertunang, cuma ada ke rumah keluarga Asha untuk merisik,” katanya lagi.
Dalam majlis tersebut Harris turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM1001 disertakan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak perempuan.
Harris memberitahu sifat peribadi yang ada pada Aisha yang juga seorang pelakon dan model itu dirasakan hampir sama seperti ibunya iaitu Zaiton Hassan atau mesra dipanggil Kak Ton.
“Asha memiliki sisi yang menghiburkan berbanding saya yang pendiam. Jadi bila ada isteri yang ceria dan periang saya rasa seronok.
“Rasanya ramai juga yang tahu saya seorang yang agak sensitif dan mudah menangis. Orang kata suka layan perasaan.
“Jadi, bila ada Asha dalam hidup sekurang-kurangnya dapat menjadi penyeri selain dia memiliki perangai yang lebih kurang sama dengan mummy,” luahnya.
Majlis resepsi bagi kedua pasangan mempelai itu bakal berlangsung pada malam ini di lokasi yang sama.
Untuk rekod, Harris pernah berlakon dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan, Isteri Bukan Untuk Disewa dan Terlerai Noktah.

