PELAKON antarabangsa Chris Evans mengakui di laman Twitternya bahawa gambar yang dimuat naik oleh laman rasmi Pixar yang menampilkan dirinya bersama beberapa maskot Disney adalah asli dan tidak disunting.

Menurut pelakon yang terkenal dengan francais Avengers itu, dia tidak tahu melakukan gaya ‘posing’ yang lain selain melakukan gaya yang berdisiplin seperti yang tertera pada gambar itu.

“Saya berjanji gambar-gambar ini bukan di ‘photoshop’. Saya cuma tahu melakukan gaya bergambar yang berdisiplin.

“Dan saya juga tak tahu apa yang nak dilakukan dengan tangan saya,” tulisnya berseloroh.

Rata-rata netizen turut meninggalkan komen yang positif pada ciapan yang dilakukan oleh pelakon berusia 41 tahun itu.

Netizen juga turut bersetuju dengan pengakuan Chris itu.

“Dia hanya melakukan posing yang sama, tapi dia tidak di ‘photoshop’,” tulis @EstefaniaHino15.

“Apabila pengcahayaan dan jurugambar terlalu bagus dengan kerja mereka, kadang-kadang gambar pun kelihatan seperti di ‘photoshop’,” tulis salah seorang netizen.

“Pose macam tu pun comel”, komen @inlostworld.

“Saya rasa cara posing awak tu sangat profesional,” komen @mkirk76 berseloroh.

Untuk rekod, Chris merupakan suara latar kepada Buzz Lightyear pada filem animasi Lightyear yang bakal ditayangkan tahun ini.

Walau bagaimanapun, menurut Star, filem animasi itu berkemungkinan tidak akan ditayangkan di Malaysia kerana mempunyai unsur homoseksual yang dilarangkan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Namun, sehingga artikel ini ditulis, tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh LPF mengenai larangan tayangan filem ini untuk tontonan umum di Malaysia.

Selain Chris, filem animasi keluaran Pixar itu juga turut dibarisi suara latar terkemuka seperti James Brolin, Taika Waititi, Keke Palmer dan ramai lagi.