LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sentiasa proaktif menyokong segala usaha kerajaan termasuk dalam mengatasi isu sekuriti makanan negara.
Seperti diumumkan sebelum ini, agensi tersebut menyokong lima langkah yang diambil kerajaan dalam menjamin sekuriti makanan negara terutamanya dengan mengambil langkah memperluas ekosistem agromakanan dengan rantaian bekalan diterajui agensi kerajaan, agensi berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh FELDA dengan yang terbaharu, inisiatif Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang diperkenalkan pada 2019, kata agensi itu dalam satu kenyataan.
PPP dilaksanakan sebagai satu instrumen bagi mempelbagaikan serta meningkatkan pendapatan peneroka melalui aktiviti bukan berteraskan komoditi sawit dan getah.
“Ini bertindak sebagai serampang dua mata bagi membantu menyokong Dasar Sekuriti Makanan negara dengan meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR), sekali gus mengurangkan kebergantungan import makanan negara,” kata kenyataan itu.
Sehingga kini, sebanyak 8,543 projek PPP telah diluluskan untuk dijalankan secara individu dan juga melalui penglibatan koperasi serta badan peneroka dengan projek-projek tersebut telah memberi manfaat kepada 56,959 orang peneroka dan generasi baharu FELDA.
BERITA BERKAITAN FELDA bentang kertas cadangan tangani krisis makanan
“57 peratus daripada projek PPP adalah melibatkan aktiviti penternakan ayam dan ruminan, manakala 41 peratus melibatkan aktiviti pertanian seperti tanaman cili dan timun secara fertigasi serta cendawan.
“FELDA dengan kelebihan tanah yang luas mempunyai potensi yang baik untuk menjadi hab lembu pedaging seperti dilaksanakan di FELDA Sahabat, Sabah,” kata FELDA.
Secara keseluruhan, ternakan lembu secara integrasi akan melibatkan penggunaan tanah seluas 32,000 hektar dan bagi ternakan ruminan ini, FELDA dijangka dapat menyumbang sebanyak 2.5 peratus daripada SSR nasional.
Bagi membantu menyelesaikan isu kenaikan mendadak harga bekalan makanan untuk ternakan pula, FELDA dalam perancangan untuk melaksanakan projek tanaman jagung bijian di tanah seluas 3,700 hektar dengan kerjasama FGV Holdings Berhad.
Projek ini dijangka dapat menyumbang sebanyak 5 peratus daripada sasaran Kerajaan untuk mengurangkan import jagung bijian negara lantas dapat menstabilkan harga FELDA juga akan merancakkan industri ternakan ayam melalui kerjasama ladang kontrak dengan Ayamas Food Corporation Sdn Bhd.
Projek dengan pelaburan berjumlah RM23 juta ini meyasarkan penghasilan 640 ribu ekor ayam setiap pusingan di lapan unit reban dua tingkat. Projek yang dilaksanakan melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan dijalankan di kawasan seluas 20 ekar di FELDA Tun Ghaffar Bukit Senggeh, Melaka.
Bagi meningkatkan produktiviti, pengaplikasian teknologi pintar turut diberi perhatian dalam pelaksanaan projek-projek PPP dan antara aplikasi yang telah pun digunakan adalah sistem cerapan dan penyiraman secara automatic serta boleh dikawal dari jarak jauh dengan mengguna pakai sistem pengaktifan suara (voice activation).
Secara tuntasnya, komitmen FELDA bagi menjayakan PPP bukan sahaja bagi meningkatkan pendapatan peneroka dan generasi baharu FELDA tetapi juga merangkumi aspirasi yang lebih besar dalam membantu agenda nasional melalui sokongan yang jitu menjayakan Dasar Sekuriti Makanan Negara.

