TOKOH pendidikan negara, Tun Dr. Arshad Ayub yang menghembuskan nafas terakhir, awal pagi tadi akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.
Difahamkan, jenazah akan dibawa dari Hospital KPJ Damansara ke Masjid Kolej Islam Malaysia, Petaling Jaya untuk disolatkan selepas waktu Zohor.
Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Makam Diraja Shah Alam untuk disemadikan.
Terdahulu, UtusanTV melaporkan Arshad, 93, telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.06 pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Azmi Arshad menerusi hantaran di Facebook.
Jumaat lalu Azmi telah memaklumkan bahawa Arshad dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Selasa lalu kerana masalah kesihatan.
Pada masa itu, Azmi memberitahu bahawa bapanya berada dalam situasi 50:50.
Allahyarham merupakan pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak tahun 1967 sehingga 1975.
Baca artikel berkaitan: Tun Arshad Ayub meninggal dunia awal pagi ini
Beliau juga adalah pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di ITM sehingga ia kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan badan berkanun.
Dilahirkan pada 15 November 1928, Arshad telah memperolehi Diploma Pertanian dari Kolej Pertanian di Serdang, Selangor.
Beliau kemudiannya dianugerahkan biasiswa Pembangunan dan Kolonial untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Aberystwyth Wales di United Kingdomg (UK) sekali gus memperoleh Ijazah Kepujian dalam Ekonomi dan Statistik pada tahun 1958.
Pada tahun 1964, beliau telah berjaya memperoleh Diploma Pentadbiran Perniagaan daripada Institut Pembangunan Pengurusan di Lausanne, Switzerland.
Arshad telah dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tahun 2020.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

