APABILA bangun pagi, masuk ke bilik air, apa perkara pertama dilakukan? Selalunya, sudah tentulah memberus gigi.
Pernah tak anda tertanya-tanya, macam mana berus gigi yang kita gunakan hari ini boleh dicipta? Tahukah anda, berus gigi yang kita gunakan pada ketika ini dicipta sekitar kurun ke 18?
Sebenarnya, amalan membersihkan mulut dan gigi sudah bermula sejak zaman pra sejarah lagi. Pada zaman itu, manusia menggunakan batang daripada dahan pokok yang akan dikunyah atau diketuk sehingga membentuk serabut seperti berus yang kita gunakan untuk melukis.
Bangsa Arab pula menggunakan dahan pokok Arrak yang berbau wangi atau lebih dikenali dengan nama siwak atau pencuci gigi.
Berus gigi moden seperti yang kita gunakan pada hari ini pula telah dicipta pada tahun 1498 di negeri China. Cuma bezanya, pada ketika itu berusnya diperbuat daripada bulu binatang seperti khinzir dan ia dilekatkan pada pemegang yang diperbuat daripada tulang ataupun buluh.

Berus gigi pertama telah dipatenkan oleh H.N.Wadsworth pada tahun 1857. Bermula saat itu, banyak syarikat di Amerika Syarikat mula mengeluarkan jenama berus gigi. Berus gigi Pro-phy-lac-tic yang dibuat oleh Syarikat pembuatan Florence Massachusetts merupakan salah satu contoh berus gigi terawal yang dicipta di Amerika.
Pada tahun 1938, Dupont de Nemours memperkenalkan berus gigi yang diberi nama Doctor West Miracle Toothbrush. Berbeza dengan berus sebelumnya, berus gigi ini dicipta menggunakan nilon yang tahan lebih lama dan lebih efektif dalam membersihkan gigi.
Namun, budaya memberus gigi kurang diamalkan dalam budaya masyarakat pada ketika itu sehinggalah tamat perang dunia kedua di mana masyarakat mula terpengaruh dengan amalan kebersihan yang diamalkan oleh para askar.
Salah satu daripada berus gigi elektrik telah dipasarkan di Amerika sekitar tahun 1960. Ia dipasarkan oleh syarikat Squibb dan diberi nama Broxodent.
Seiring dengan peredaran zaman, berus gigi juga mengalami inovasi. Pelbagai pembaharuan dilakukan menjadikan alat ini lebih moden dan mudah diguna pakai, sebagai salah satu cara untuk menggalakkan masyarakat menjaga kebersihan mulut mereka.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com