DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) agar bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan kerja di saat-saat akhir.
Perdana Menteri berkata, tempoh setahun sebelum penggal Parlimen ini tamat bagi parti-parti politik menghadapi pilihan raya bukanlah satu jangka waktu yang lama.
“Kita perlu bersedia kerana paling lewat, PRU-15 perlu diadakan dalam tempoh setahun dari sekarang dan tempoh itu tidak lama.
“Itu jika ia diadakan pada Julai namun ia juga mungkin dan boleh diadakan lebih awal dari tarikh tersebut,” katanya seperti dilapor Bernama.
Naib Presiden UMNO itu berkata, sebab itu beliau mahu semua jentera di Parlimen Bera sama ada UMNO atau parti komponen BN bersiap sedia.
“Akhirnya pilihan raya umum akan tiba. Justeru saya tak mahu berlaku kelam-kabut dalam kalangan jentera,” jelasnya.
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Perjumpaan Khas dan Ramah Mesra Bersama Petugas Jalinan Rakyat (JR) Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda Bera hari ini.
Baca: PRU-15 sesuai diadakan pada Julai 2023 – Tun M
Tiada mana-mana PM bincang tarikh PRU secara terbuka
Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan jentera parti komponen BN di Parlimen Bera kerana dapat bekerjasama serta sepakat memulakan gerak kerja seperti petugas JR yang turut membabitkan sayap wanita daripada UMNO, MCA dan MIC.
Menyentuh cadangan menguatkuasakan Akta Pendanaan Politik, Ismail Sabri berkata ia masih berjalan dan Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang serta Jabatan Peguam Negara) telah diarah melakukan kajian menyeluruh untuk dibentang kepada Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.

