tehran yang menyakitkan

“Allah, Allah, Allah, Allah,…” bibir Zamri tidak pernah kering dari menyebut Allah. Biarlah apa yang terjadi dia mahu kalimah Allah itu sentiasa berada di hati, ingatannya dan lafaznya. Setelah tangannya digari, matanya pula ditutup dengan kain hitam.

Di tengah-tengah kain itu ada dua biji guli yang kedudukannya betul-betul pada mata. Apabila tali di bahagian belakang kepala diketatkan guli akan menekan mata sekuat-kuatnya.

“Ya Allah, sakitnya! Ya Allah!” Zamri mengerang kesakitan.

“Ya Allah…!” terdengar suara Arshad pula menjerit. Zamri mengagak pasti kawannya itu menerima nasib sepertinya.

Di dalam hati tidak pernah putus berdoa dan berdoa agar tidak ada apa-apa yang buruk berlaku. “Ya Allah, tolonglah lindungi kami dari segala kemungkinan buruk?”  doa Zamri.

Tiba-tiba terdengar Arshad ditampar kemudian Firdaus pun menerima nasib yang sama. Entahlah, apa yang tidak kena dengan kawan-kawannya itu hingga menjadi habuan penampar.

“Ya Allah! Tolonglah kami kepadaMu saja tempat aku bergantung dan memohon pertolongan. Ya Allah ! tolonglah kami,” suara Zamri merintih memohon belas ihsan dari Allah.

Ketika itu dia rasa tidak ada siapa yang boleh membantunya kecuali Allah. Walaupun saat muncung pistol sudah berada di kepalanya namun dia percaya bahawa Allah berada lebih dekat dengannya dari rapatnya urat leher.

Zamri tidak mahu mengalami nasib yang sama macam Arshad, macam Firdaus. Jika dengan jalan mengalah boleh menyelamatkannya maka jalan itu akan digunakan. Ketika itu perasaan takut mula menyelinap ke hati apabila memikirkan lelaki itu boleh bertindak ganas dan kejam, boleh jadi juga dia akan dilenyapkan terus dari muka bumi.

Baca artikel berkaitan: siri 1 tehran yang menyakitkan

ketika itu juga Allah memberikannya ilham untuk berlakon seperti sedang sakit teruk dan badannya dilembikkan hingga hampir saja tersembam ke lantai. Namun segera disambut oleh seorang lelaki yang mengawalnya. Sambil menekan dadanya, Zamri bersuara lemah,

“hhheart problem…low sugar…suuugar.”

Setelah meneguk air yang diberikan, Zamri merasa sedikit sihat. Alhamdulillah…! Zamari bersyukur kerana terselamat daripada diseksa dan dibenarkan rehat walaupun tangan masih bergari.

Lepas seorang, seorang pegawai yang lain datang menyiasat dan bertanya macam-macam, tanya suratlah dan banyak lagi. Zamri dengan tenang melayan saja pertanyaan itu. Mana yang boleh dijawab dia akan jawab seadanya. Jika tidak boleh dia hanya diam saja. Proses itu saja mengambil masa 3 jam.

“Apakah malam ini kami akan terus ditahan di sini?” hatinya menyoal.

Jantung Zamri sentiasa berdegup kencang menanti apa yang seterus akan terjadi. Sedih hatinya apabila melihat Arshad yang berada di dalam keadaan lemah, pipi lebam dan mulut berdarah.

“Arshad! Sabar ya, jangan lupa berdoa kepada Allah,” pujuk Zamri di dalam nada yang perlahan. Kepada Fidaus pun dia mengatakan perkara yang sama.

Tidak lama kemudian salah seorang penyiasat mendapatkan Arshad. Entah apa yang ditanya dan tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan. Bukkk!Bukk1 Bukk! Tiga das penumbuk dilepaskan ke perut Arshad.

Mungkin beginilah keadaan zamri dan rakan-rakan diperlakukan oleh anggota Basij. Sekadar gambar hiasan

“Ya Allah!” Arshad mengerang kesakitan. Datang pula orang lain dan menyoal lagi.

Sementara itu, keadaan Zamri masih tidak berubah, masih berlakon lemah kerana penyakitnya. Beberapa orang lelaki sentiasa memerhatikannya dan memberikan air kepadanya.

Dua jam kemudian…

Seorang lelaki yang sudah agak berumur bersamanya pembantu yang lebih muda datang untuk membukakan gari. Semua barang dan dokumen dikumpulkan lalu dimasukkan ke dalam beg plastik dan diarah untuk mengikutnya. Kunci motor diserahkan semula tapi tidak dilepaskan, hanya kunci saja yang ada di tangan tapi motornya tidak kelihatan.

Dari rumah tahanan itu mereka dibawa ke suatu tempat yang tidak diketahui di mana, yang pasti masih di Tehran. Zamri dan rakan-rakannya ditinggalkan di situ sehelai sepinggang, sementara menunggu polis datang menjemput.

Menurut polis kumpulan tersebut adalah penyokong kuat presiden, amat ditakuti malah polis sendiri tidak berani menentang atau membantah. Mereka digelar Basij yang bermaksud bahaya, ia bertindak sebagai agen perisikan rahsia yang menyusup masuk di dalam masyarakat.

Mereka terdiri daripada pelajar universiti, pesara kerajaan, golongan profesional dan pensyarah. Andainya ada orang yang cuba untuk menumbangkan, menjatuhkan dan merampas kuasa, kumpulan itulah yang akan dapat tahu dahulu dan akan maklumkan kepada presiden.

Dikatakan juga mereka adalah kumpulan yang paling berkuasa hingga boleh mengatasi kuasa polis dan tentera. Apabila presiden arahkan bunuh, ketua polis negara pun mereka sanggup bunuh.

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Tidak putus bibir, lidah dan hatinya mengucupkan syukur

Esoknya,

Peristiwa semalam masih menghantui fikiran, namun perjalanan menuju ke Mekah perlu diteruskan. Selepas sarapan pagi Zamri, Arshad dan Firdaus yang ditemani oleh Syed iaitu agen pelancongan tempatan menuju ke balai polis untuk mengambil motor dan dokumen penting.

Masih ada urusan yang belum selesai lagi. Ketika di balai polis sekali lagi Zamri disoal siasat hingga pukul 12.30 tengah hari baru selesai. Semua barang yang diambil diserahkan semula termasuk pasport. Dikhabarkan punca penangkapan Zamri dan kawan-kawannya kerana mengambil gambar. Di Iran ia adalah satu perkara yang dilarang tapi tidak ada siapa pun yang memaklumkannya.

Perkara yang berlaku itu dilaporkan kepada duta Malaysia ke Iran Datuk Mohd Sidik Gany.

“Bertuahlah! Kamu adalah orang pertama yang berjaya lepas dari tahanan Basij. Banyak kes sebelum ini yang ditahan Basij tidak dilepaskan dan hilang macam tu saja.

Berhati-hatilah apabila berkunjung ke negara orang terutama negara yang sedang bergolak

Ini kes pertama yang melibatkan rakyat Malaysia, sebelum ini ada juga rakyat negara lain yang ditahan. Polis dan kerajaan tidak berani bertindak kerana yang membunuh bukan polis tetapi kumpulan tertentu,” jelas duta.

Zamri mengurut dada mendengar penjelasan daripada duta, terasa seperti diberikan nyawa semula. Syukur, Alhamdulillah! Kerana Allah masih memberikan kesempatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan Nya.

Namun Zamri tidak pernah kesal, pengalaman itu cukup menyakitkan tetapi apabila dikenangkan ia cukup menarik. Selama ini dia tidak pernah pun merasa digari dan mengalami saat genting. Tetapi di Iran semua itu dirasai, digari, disoal siasat dan diseksa.

Ketika menjalani saat getir itu Zamri hanya ingat kepada Allah dan amalkan zikir yang telah diajarkan oleh ustaz Nahrawi. Setiap denyut nadinya dan kembang kempis dadanya penuh dengan alunan zikirullah.

Tidak ada ilmu kebal yang disimpan di dada kecuali zikir yang memuji kebesaran Allah. Peristiwa itu banyak mengajarnya erti hidup bertuhan dan pergantungan hidup tidak kepada yang lain kecuali Allah. Itulah sedikit pengalamannya menjelajah ke negara orang. Wallahu a’lam

_______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare