Pelan hala tuju pengurusan banjir dirangka, tingkat daya tahan negara hadapi impak iklim – PM

Dari Penulis

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) ketiga yang diadakan secara dalam talian.

Mesyuarat ketiga MyCAC sejak ditubuhkan itu turut dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, wakil Ketua Setiausaha Negara dan pakar dalam bidang perubahan iklim.

Ismail berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk hala tuju pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim.

“Ini berikutan Malaysia terdedah kepada impak perubahan iklim seperti hujan lebat yang mengakibatkan fenomena banjir besar. Ini kerana iklim Malaysia berkelembapan tinggi di samping bentuk muka buminya yang turut menyumbang kepada fenomena ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Mesyuarat secara dalam talian turut dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, wakil Ketua Setiausaha Negara dan pakar dalam bidang perubahan iklim.

Katanya, mesyuarat memutuskan antara tindakan yang akan dilaksanakan ialah:

i. Membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang dan strategi pembangunan kebangsaan untuk sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti;

ii. Menggalakkan kerajaan negeri untuk mengguna pakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim; dan

iii. Mengintegrasi faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projek-projek sektor air dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana banjir.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan tentang cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam penganjuran acara-acara besar.

BERITA BERKAITAN Banjir: APM selamatkan 17 penghuni rumah jagaan warga emas

Beliau berkata, inisiatif itu dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik di negara ini, selain mengurangkan pelepasan GHG secara berkesan. Ia juga berpotensi menarik pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan hijau serta menjimatkan subsidi bahan api oleh kerajaan.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan kerangka dasar pasaran karbon dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang menyediakan panduan asas bagi urus niaga kredit karbon di Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerangka itu memberi penekanan kepada kepentingan dan kelebihan urus niaga kredit karbon di peringkat domestik bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon dilaksanakan secara telus, sekali gus menepati piawaian antarabangsa serta menyumbang terhadap sasaran pengurangan pelepasan GHG negara.

Pada masa ini, KASA sedang membangunkan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon Negara selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan GHG sifar bersih, seawalnya pada 2050, katanya.

Katanya, komitmen dan usaha kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim juga akan diteruskan dengan menyertai Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNFCCC) ke-27 di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 6 – 18 November 2022 yang merupakan persidangan tahunan bagi membincangkan isu global perubahan iklim.

” Saya akan mengetuai delegasi negara ke persidangan berkenaan bersama Menteri-Menteri Besar Ketua-Ketua Menteri dan Menteri Alam Sekitar dan Air.

“Selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia Lestari’, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu perubahan iklim dapat diperkukuhkan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada masa kini dan akan datang,” tambahnya. – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

El Nino: Kerajaan perketat kawalan jerebu, pembenihan awan siap digerak

KERAJAAN memperketat langkah pencegahan jerebu dan kebakaran terbuka susulan jangkaan cuaca panas serta kering akibat fenomena El Nino. Kementerian Sumber...

More Articles Like This